NILAI – Dalam ribuan graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-23, tumpuan turut terarah kepada tiga graduan muda yang membawa keunikan tersendiri apabila menamatkan pengajian dalam bidang Sains Fizik Gunaan sambil bergelar Hafizah 30 juzuk. Mereka ialah Izzatul Faqihah Mohd Azahar, Mishkah Azzahirah Suwandi dan Siti Nur Syakirah Ahmad Afendi, masing-masing berusia 23 hingga 24 tahun.

Ketiga-tiga graduan ini memulakan perjalanan hafazan pada usia yang berbeza. Izzatul Faqihah mula menghafal pada usia 13 tahun dan menamatkannya dalam tempoh empat tahun. Beliau mengakui bahawa peralihan daripada sekolah rendah biasa ke program hafazan di Tingkatan 1 merupakan cabaran besar, dan mengingati Surah An-Naba’ sebagai antara surah terawal yang sukar baginya.

Mishkah Azzahirah pula memulakan hafazan dalam keadaan terpaksa kerana didikan sejak kecil dan sokongan keluarga yang semuanya hafizah. Namun, rasa terpaksa itu berubah menjadi kecintaan setelah merasai kemanisan menghafal al-Quran yang hanya difahami oleh para penghafal. Sementara itu, Siti Nur Syakirah berdepan cabaran apabila bertukar dari sekolah biasa ke sekolah agama pada usia yang lebih lewat, menjadikannya perlu mengejar rakan-rakan lain yang sudah hampir menamatkan hafazan.

Mengimbas kembali fasa hafazan, mereka sependapat bahawa cabaran terbesar bukan sekadar menghafal, tetapi mengurus masa, tekanan akademik dan kerinduan terhadap keluarga.

“Kerinduan kepada ibu bapa ketika di asrama sering mengganggu fokus, tetapi saya sentiasa yakin bahawa Allah memilih kami kerana kami mampu memikul amanah hafazan ini,” ujar Mishkah Azzahirah.

Walaupun diuji pelbagai cabaran, semangat mereka tidak pernah luntur. Pesanan guru bahawa anak penghafal Al-Quran bakal membawa ibu bapa ke syurga menjadi kekuatan utama Mishkah, manakala Syakirah menjadikan rakan yang laju menghafal sebagai pemangkin dirinya untuk terus mara.

“Saya perlu bekerja keras mengejar subjek akademik seperti Bahasa Arab sambil memastikan sasaran hafazan tetap dipenuhi. Itu menjadi cabaran paling besar bagi saya,” tambah Syakirah pula.

Kini bergelar graduan, masing-masing tetap menjaga hafazan mengikut rutin sendiri supaya ia dapat dikekalkan dan diamalkan walau di mana jua mereka berada.

Mereka turut menitipkan nasihat kepada semua graduan supaya mencari ketenangan dalam al-Quran ketika sedih atau marah. Satu ayat sehari jauh lebih baik daripada meninggalkan al-Quran sepenuhnya dan hafazan adalah anugerah, dan sesiapa dipilih Allah untuk menghafal al-Quran, itu tanda kemampuan yang perlu disyukuri dan dipelihara.

Oleh: Nurul Fathihah Shaipol Azman