NILAI — Azrul Zamani Azmi, 23, tetap menghadiri majlis konvokesyen walaupun baru dua minggu menjalani pembedahan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Dengkil, pada 4 November baru-baru ini.

Azrul cedera di bahagian muka dan mengalami patah tulang paha selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah jenis Innova yang membelok secara tiba.

Akibat kecederaan tersebut, Azrul menjalani pembedahan di sebuah hospital di Putrajaya pada 11 November dan dibenarkan keluar pada 13 November — hanya beberapa hari sebelum konvokesyen berlangsung. Beliau kini masih menjalani fisioterapi dan perlu hadir ke hospital setiap dua minggu untuk rawatan susulan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu hadir ke majlis graduasi ditemani kedua ibu bapanya, Azmi Abu Hassan, 59, dan Zoon Zuena Osman, 56, yang menjaga beliau sepenuhnya sepanjang tempoh pemulihan termasuk menguruskan pergerakannya dan rawatan susulan selepas pembedahan.

Azrul berkata insiden itu berlaku sekitar jam 2 petang ketika beliau ingin bertemu rakannya. Kemalangan itu berlaku pada saat-saat akhir menjelang detik penting konvokesyen dan azrul tetap memilih untuk hadir ke majlis tersebut sebagai tanda menghargai pengorbanan ibu bapanya yang sentiasa berada di sisinya sejak hari kejadian.

“Harapan saya adalah untuk cepat sembuh dan mula bekerja supaya dapat ringankan beban ibu bapa,” katanya ringkas.

Bapanya, Azmi Abu Hassan berkata, beliau dan isterinya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima berita kemalangan dan ketika tiba di sana mereka mendapati Azrul sudah berada dalam ambulans. Menurutnya, mereka melalui proses rawatan yang panjang termasuk berulang-alik dari rumah ke hospital sehingga hari pembedahan.

Beliau turut meminta doktor untuk mempercepatkan proses rawatan bagi membolehkan Azrul hadir ke majlis konvokesyen, namun melibatkan kos lebih tinggi. Walaupun begitu, katanya, beliau sanggup berusaha mendapatkan dana demi memastikan anaknya dapat merealisasikan impian bergraduasi di pentas konvokesyen.

Azmi menyifatkan keseluruhan pengalaman itu sebagai satu ujian, namun beliau bersyukur anaknya sempat pulih untuk menghadiri majlis graduasi yang menjadi impiannya sejak awal pengajian.

 

Oleh: Muhammad Iqbal Sham Shor, Nur Maisarah Mohd Zaimee, Nurul Fathihah Shaipol Azman