NILAI  – Tiada siapa mampu menjangka perjalanan masa hadapan. Itulah kisah luar biasa seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kini menggenggam dua ijazah kedoktoran pada usia muda, sekali gus menjadi inspirasi kepada para pelajar dan masyarakat.

Dr. Nurmaizah binti Mohd Yusaimi, 32, baru sahaja menerima ijazah kedoktoran keduanya pada Majlis Konvokesyen USIM ke-23, setelah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri. Sebelum ini, beliau telah menamatkan pengajian dalam bidang pergigian di USIM pada tahun 2017 dan berkhidmat sebagai doktor gigi selama setahun lima bulan.

Memilih untuk kembali ke USIM sebagai alumni Sarjana Muda Pembedahan Pergigian, proses kemasukan beliau ke bidang perubatan menjadi lebih mudah.
“Saya bertegas dan tunjukkan kemahuan yang tinggi untuk sambung belajar. Tidak rugi langsung untuk sambung belajar kerana pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya sambil berkongsi hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pengkhususan dalam bidang perubatan pada masa hadapan.

Menyambung pengajian selepas bekerja bukan satu tugas ringan. Banyak ilmu baharu perlu dipelajari, ditambah pula dengan pengalaman bertemu pesakit pelbagai ragam. Namun segala cabaran itu tidak menghalang beliau untuk terus melangkah sehingga bergelar graduan hari ini.

Walaupun pada awalnya ada yang mempersoalkan keputusannya untuk kembali belajar, Dr. Nurmaizah tetap teguh dengan pilihannya. Sokongan rakan-rakan, pensyarah serta doa restu ibu dan ayah menjadi pendorong utama yang menguatkannya untuk terus maju menghadapi setiap rintangan.

“Alhamdulillah, segalanya Allah SWT permudahkan,” tambahnya.

Kisah Dr. Nurmaizah menjadi bukti bahawa tekad, disiplin dan kesabaran mampu membuka pintu kejayaan. Beliau menegaskan bahawa kejayaan adalah milik mereka yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa memperbaiki diri.

Dalam pesannya kepada para pelajar yang ingin menyambung pengajian, beliau berkata:
“Yang penting kita kena sentiasa mentauhidkan Allah. Allah pasti akan membantu kita dengan cara yang terbaik untuk kita.”

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Muhammad Amir Danish Mohd Rodzi