NILAI — Ketabahan seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Khadijah Antasha Abd Rashid, 23, wajar dijadikan inspirasi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian meskipun berdepan masalah kesihatan serius hanya sebulan sebelum menghantar Final Year Project (FYP).

Antasha, anak kedua daripada tiga beradik kepada pasangan Nor Alida Misti, 53, dan Abd Rashid Ali, 55, pada awalnya merancang menangguhkan pengajian selama satu semester. Namun dorongan rakan-rakan dan para pensyarah menguatkan tekadnya untuk terus berjuang sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Saya memang tak sangka. Tapi atas dorongan kawan-kawan dan lecturer, saya habiskan juga,” katanya dengan penuh syukur.

Beliau mengimbas kembali detik getir ketika diserang sakit saraf yang menyebabkan dirinya tidak mampu bangun, menulis atau makan sendiri. Sepanjang tempoh itu, rakan-rakan menjadi penyokong utama bantu menyediakan makanan, menyiapkan tugasan dan menemani beliau hadir ke kelas meskipun dalam keadaan lemah dan demam.

Antasha turut berkongsi bahawa penglibatan aktifnya dalam StraComm Clique, khususnya dalam penulisan berita dan penyuntingan video, membantu menstabilkan emosi serta mengurangkan tekanan sepanjang pengajian. Namun sumber motivasi terbesarnya tetap datang daripada ibu bapanya, yang bekerja menjual nasi lemak.

“Saya nak mak ayah saya berhenti jual nasi lemak. Itu yang buat saya teruskan juga walaupun sakit,” ujarnya.

Bagi Antasha, momen menyarung jubah konvokesyen adalah antara detik paling bermakna. Sosok pertama yang terbayang di fikirannya ialah ibunya, insan yang menjadi “tangan” ketika beliau tidak mampu melakukan apa-apa sepanjang sakit. Beliau menegaskan bahawa tanpa kekuatan dan doa ibunya, kejayaan hari ini mungkin tidak akan tercapai.

Menutup bicara, Antasha menitipkan pesanan kepada pelajar lain agar sentiasa percaya kepada proses, tidak berputus asa, dan memperbanyakkan doa.

“Setiap usaha biarlah kerana Allah. Sokongan keluarga dan ketekunan diri akan membawa kita kepada kejayaan,” katanya penuh makna.

 

Oleh: Muhammad Iqbal Sham Shor Annuar, Nur Maisarah Mohd Zaimee, Nurul Fathihah Shaipol Azman