NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraikan seramai 32 graduan sulung Program Teknologi Industri Kesihatan (HIT), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), pada Sidang Kelima Majlis Konvokesyen ke-23. Lebih membanggakan, 31 daripada mereka berjaya meraih ijazah kelas pertama, sekali gus mengukuhkan reputasi program baharu ini sebagai antara yang paling berdaya saing di USIM.

Program HIT merupakan salah satu daripada tujuh program pengajian baharu yang diperkenalkan USIM, menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan industri yang merangkumi dua tahun pengajian universiti dan satu tahun setengah latihan industri, bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan moden dan industri farmaseutikal yang berkembang pesat.

Salah seorang graduan cemerlang, Nur Waheda Muhamad Zulkaffle, 23, diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Inspirasi (Kepimpinan) atas penglibatan aktif serta ketokohan beliau sepanjang pengajian. Anak kelahiran Banting, Selangor ini kini berkhidmat sebagai Patient Assistance Partner di Roche (Malaysia), sebuah syarikat farmaseutikal global.

Waheda merupakan anak bongsu daripada empat beradik kepada pasangan Muhamad Zulkaffle Susman, 57, seorang buruh binaan, dan Masnum Abas, 55, yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Minatnya terhadap dunia kesihatan bermula sejak kecil, dan beliau pada awalnya bercita-cita menjadi doktor sebelum memilih laluan teknologi kesihatan dan industri farmaseutikal.

Mengimbau detik sukar yang mengubah dirinya, Waheda mengakui pernah melalui fasa paling rendah apabila niatnya untuk mendapatkan penjelasan disalah tafsir sehingga menerima kecaman.

“Saya hilang diri hampir dua bulan. Tapi pengalaman itu membentuk saya menjadi pemimpin yang lebih matang,” katanya.

Beliau berkata peristiwa tersebut mengajarnya bahawa kepimpinan bukan sekadar memberi arahan, tetapi mendengar, memahami dan membina solusi bersama.

Sebagai kumpulan pertama, pelajar HIT berdepan cabaran unik dimana tiada rujukan senior, sistem latihan industri yang baru diperkenalkan, serta kurikulum yang masih diperkemas. Namun mereka berjaya membuktikan kemampuan melalui pelbagai pencapaian termasuk penubuhan Student Society HIT dari sifar, pelancaran HealTech Lab oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan industry, kejuaraan Debat Bahasa Melayu peringkat intrafakulti.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang. Ia adalah usaha kami bersama,” katanya.

Program Teknologi Industri Kesihatan direka berasaskan model 2 Universiti + 1.5 Industri, melibatkan empat semester akademik dan tiga semester latihan industri di dua syarikat berbeza. Pelajar didedahkan kepada pembangunan peranti perubatan dari peringkat reka bentuk, pengujian keselamatan, penyelenggaraan peralatan hingga operasi sistem kesihatan menggunakan teknologi seperti AutoCAD, Arduino dan TinkerCad.

Pendekatan ini memastikan graduan bukan sahaja menguasai teori, tetapi turut memahami budaya kerja sebenar industri seawal tahun kedua pengajian.

Majlis Konvokesyen ke-23 USIM bukan sahaja meraikan kejayaan individu, malah membuktikan kejayaan pendekatan pendidikan berasaskan industri dalam melahirkan graduan holistik, berkemahiran tinggi dan bersedia memacu pembangunan sektor kesihatan negara.

 

Oleh : Siti Nurafiqah Azwan