NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengiktiraf kecemerlangan kepimpinan pelajarnya apabila Mohamad Zulfithri bin Mohd Johari, 24, diumumkan sebagai penerima Anugerah Kepemimpinan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) sempena Majlis Konvokesyen ke-23. Beliau yang merupakan mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP), berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian.

Zulfithri berasal dari Gunung Semanggol, Perak dan merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Beliau dibesarkan dalam keluarga sederhana; ayahnya, Mohd Johari bin Shafie, bekerja sebagai petugas kebersihan di RnR Gunung Semanggol, manakala ibunya, Hasmawati binti Abdul Hamid, merupakan suri rumah sepenuh masa. Latar belakang ini menjadi pemangkin semangat beliau untuk menuntut ilmu dan mengubah kehidupan keluarga.

Sepanjang pengajian, beliau aktif dalam kepimpinan dan berjaya mengangkat nama USIM di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai wakil universiti ke Global Student Leadership Summit di Universiti Istanbul, Turkiye, bagi membentangkan kertas kajian bersama pemimpin pelajar dari seluruh dunia. Keupayaan beliau memimpin dan membawa suara mahasiswa menjadikan prestasinya diiktiraf di peringkat fakulti dan universiti.

Untuk menampung perbelanjaan pengajian, Zulfithri turut bekerja separuh masa dalam empat bidang berbeza sepanjang tempoh belajar. Beliau pernah berniaga kecil-kecilan, bekerja di A&W dan paling mencabar, bekerja lapan bulan di Sports Direct Aeon Nilai dalam masa yang sama menjalani latihan industri di Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau tidak bercuti selama hampir lima bulan, menghabiskan hari Isnin hingga Jumaat bagi latihan industri, manakala Sabtu dan Ahad bekerja sehingga lewat malam. Pengalaman tersebut menguji ketahanan fizikal dan mentalnya, namun menjadi titik penting dalam membentuk disiplin dan daya juang.

Cabaran lain yang tidak dapat dilupakan ialah ketika pointer beliau jatuh di bawah 3.00 pada semester lima. Situasi itu hampir melemahkan semangat, namun beliau bangkit mengubah cara belajar, memperbaiki pengurusan masa dan kembali fokus kepada sasaran akademik. Beliau menyifatkan ujian tersebut sebagai pengalaman yang mendewasakan serta menjadikannya lebih kuat untuk menamatkan pengajian dengan baik.

Menurutnya, kepimpinan yang berkesan bukan hanya terletak pada jawatan, tetapi pada tanggungjawab dan keikhlasan dalam memberi manfaat kepada orang lain. Beliau menasihatkan pelajar agar tidak takut melakukan kesilapan, namun bijak belajar daripadanya. Beliau turut menekankan kepentingan mengimbangi penglibatan organisasi dan pencapaian akademik kerana kedua-duanya membentuk pelajar yang berdisiplin, berilmu dan bersedia memimpin.

Zulfithri kini berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif (Program Khas) di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi. Beliau turut merancang untuk meneruskan kerjaya dalam sektor perkhidmatan kerajaan dengan memohon sebagai pensyarah politeknik dan seterusnya mengejar cita-cita menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Kisahnya menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain bahawa kejayaan tidak hadir tanpa usaha, pengorbanan dan kesungguhan, serta bahawa kepimpinan sejati lahir melalui pengalaman dan ketabahan menghadapi cabaran.