NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad dan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) telah menganjurkan Program AQIF On The Go x Program Asas Kewangan Islam (PAKSI) bagi memperkasa literasi kewangan Islam dalam kalangan mahasiswa.

Program selama tiga hari ini disertai 30 mahasiswa daripada program Matematik Kewangan serta Aktuari dan Pengurusan Risiko, dengan objektif memberi pendedahan berstruktur terhadap prinsip, etika dan amalan kewangan Islam serta laluan pensijilan profesional Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF).

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Zalisham Jali, berkata kolaborasi antara universiti dan industri amat penting bagi memastikan graduan bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, malah memahami nilai dan tadbir urus Syariah.

“Kerjasama strategik ini membolehkan pelajar didedahkan secara langsung kepada keperluan sebenar industri kewangan Islam, sekali gus melahirkan graduan yang berdaya saing dan berintegriti,” katanya.

Sepanjang program, peserta mengikuti sesi interaktif kendalian tenaga pengajar bertauliah IBFIM merangkumi pengenalan industri kewangan Islam, asas Syariah dan Fiqh Muamalat, etika profesional serta aspek perundangan dan tadbir urus.

Menurut Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Siti Raihana Hamzah, program ini mencerminkan komitmen FST USIM dalam melahirkan graduan holistik berteraskan integrasi ilmu Aqli dan Naqli.

“Penyertaan pelajar yang turut memiliki kemahiran analitik membuktikan kesediaan USIM membangunkan bakat kewangan Islam yang relevan dengan cabaran ekonomi moden,” ujarnya.

Program ini dibiayai oleh dana zakat Maybank Islamic dengan kerjasama USIM, UniSZA dan UIAM, melibatkan peruntukan RM140,000 dan dijangka memberi manfaat kepada 90 pelajar sehingga November 2025.