NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menzahirkan komitmennya dalam melahirkan mahasiswa berjiwa kepimpinan apabila tiga orang wakil universiti itu terpilih menyertai YSS–ASEAN Students Volunteer Mission to Sarawak, Malaysia 2025 yang berlangsung pada 7 hingga 23 November 2025 . Program anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ini memberi penekanan kepada pembentukan volunteer leadership, berbeza daripada program kesukarelawanan konvensional yang lazimnya memfokuskan bantuan sosial semata-mata.
Salah seorang peserta USIM, Syahirah binti Zulkipli Ahad, 23, pelajar Sarjana Muda Syariah (Industri Halal), telah ditempatkan di Rumah Tadong Anak Tambi, Kanowit, Sibu, iaitu salah satu daripada sembilan lokasi misi di Sarawak. Beliau terlibat secara aktif dalam Teras Transformasi Digital, dengan melaksanakan pengajaran kepada pelajar sekolah rendah dan menengah melalui pendekatan STEM, penggunaan micro:bit serta bengkel kemahiran digital seperti Canva.
Selain melaksanakan tugasan utama, peserta USIM turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat, termasuk kerja-kerja renovasi dapur komuniti, mencantikkan pintu gerbang kampung, penganjuran malam kebudayaan Ini Warisan Kita serta aktiviti sukan rakyat. Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat di rumah panjang turut memberikan pendedahan langsung kepada realiti kehidupan komuniti luar bandar.
Program ini merupakan edisi ASEAN yang melibatkan penyertaan sukarelawan dari Vietnam dan Singapura, dengan keseluruhan seramai 172 peserta, menjadikannya antara misi YSS terbesar setakat ini. Majlis pelepasan peserta (flag-off) telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, yang menegaskan sokongan kerajaan terhadap usaha membentuk belia yang berdaya saing, prihatin dan berjiwa kepimpinan.
Berkongsi pengalaman, Syahirah berkata penyertaan dalam misi tersebut telah membuka perspektif baharu tentang kehidupan komuniti luar bandar, di samping menguji ketahanan mental dan emosi peserta.
“Pengalaman ini amat bermakna kerana saya bukan sahaja belajar mengurus projek dan mengajar pelajar, malah turut hidup dan bekerja bersama komuniti setempat. Sambutan mesra penduduk kampung benar-benar mengubah persepsi awal saya, serta mengajar nilai kesabaran dan ketahanan diri,” katanya.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar





