NILAI – Dua pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai juara AI Fiqh Hackathon in Islamic Finance 2026, sekali gus mengharumkan nama universiti di pentas inovasi teknologi dan kewangan Islam bertaraf antarabangsa.

Mereka adalah dari pasukan UCIMFIQOLBI, yang dianggotai oleh Ubaidah Amran,23, dan Muhammad Faiz Akhyar Zulfaqar,22, pelajar Tahun tiga program Information Security Assurance (ISA), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), yang berjaya membawa pulang Hadiah Utama bernilai RM10,000, menewaskan pasukan profesional industri serta peserta antarabangsa.

 

Menurut Puan Nurul Fathihin Mohd Noor Shah pensyarah FST selaku pembimbing yang memastikan pembangunan inovasi dapat disiapkan mengikut keperluan teknikal dan kepatuhan syariah yang ditetapkan berkata, kejayaan pasukan UCIMFIQOLBI menjadi lebih signifikan apabila mereka berjaya menewaskan 10 pasukan terbaik yang turut melibatkan penyertaan daripada pihak industri dan profesional.

“Kejayaan ini mencerminkan kekuatan integrasi ilmu Islam dan teknologi di USIM, selain membuktikan keupayaan pelajar universiti awam tempatan dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang memenuhi keperluan industri serta kehendak semasa ekosistem kewangan Islam”.

Ujarnya lagi, pertandingan anjuran Bank Rakyat itu menuntut peserta membangunkan prototaip lengkap dalam tempoh masa yang singkat. Sepanjang dua hari berlangsung, pasukan UCIMFIQOLBI membangunkan prototaip penuh dalam tempoh 72 jam bagi dua tugasan utama, serentak dengan persediaan menghadapi peperiksaan akhir. Sesi pembentangan akhir pula berlangsung pada 28 Januari 2026 di Menara Kembar Bank Rakyat, sejurus tamat peperiksaan, manakala pengumuman kemenangan dibuat pada 30 Januari 2026 ketika pelajar masih berada dalam tempoh peperiksaan.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut diraih dalam keadaan yang amat mencabar apabila keseluruhan pertandingan berlangsung seiring dengan minggu peperiksaan akhir universiti.

Sementara itu, saudara Ubaidah Amran berkata untuk tugasan pertama, kami membangunkan AI Shariah Chatbot yang berupaya memberikan jawapan berasaskan rujukan syariah sahih yang diekstrak secara automatik menggunakan teknologi kecerdasan buatan. Setiap jawapan disertakan bukti dalam bentuk tangkapan layar dokumen serta pautan aktif bagi memastikan ketelusan, kebolehkesanan sumber dan pematuhan syariah seperti yang ditetapkan oleh penganjur.

“Manakala tugasan kedua pula membangunkan  ShariahQuest, iaitu sebuah solusi AI yang menyokong proses audit syariah secara lebih sistematik dan berstruktur. Inovasi ini merangkumi modul analisis dokumen bagi penentuan peratusan pematuhan syariah, modul pembelajaran, kemudahan tempahan konsultasi bersama pakar serta fungsi pembantu chatbot, menjadikannya satu penyelesaian yang praktikal dan bersedia untuk aplikasi industry”.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan pembangun profesional, manakala tempat ketiga diraih oleh pelajar tahun akhir universiti dari Seoul, Korea.