PORT DICKSON – Satu sesi perjumpaan dan ramah mesra Panglima Latihan Tentera Darat Mej. Jen. Datuk Marzuki Hj Mokhtar bersama warga PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai platform memperkukuh hubungan kepimpinan, menyampaikan amanat serta meningkatkan motivasi dan kefahaman peranan Pegawai Kadet sebagai pelapis kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia telah berlangsung dengan penuh semangat pada 17 Februari 2026 di Malbatt Village Port Dickson.
Kehadiran seramai 196 anggota PALAPES USIM dalam program ini mencerminkan komitmen tinggi pasukan dalam memperkasa latihan, disiplin dan pembangunan kepimpinan secara menyeluruh.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh PRM Alif Asyraf Ahmadi serta ucapan aluan oleh Timbalan Komandan PALAPES USIM Lt. Kol. Rozaimi Kamarudin sebelum sesi amanat dimulakan.
Dalam amanatnya, Mej. Jen. Datuk Marzuki Hj Mokhtar menegaskan bahawa pembentukan seorang pemimpin tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina melalui nilai dan prinsip yang kukuh. Antara elemen utama yang ditekankan ialah disiplin, fokus, keyakinan diri, penguasaan ilmu, bimbingan mentor, kemahiran komunikasi, semangat kerjasama serta kreativiti dalam mendepani cabaran semasa.
Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan dalam latihan ketenteraan perlu seiring dengan pembentukan sahsiah unggul dan kepimpinan beretika. Pegawai Kadet bukan sahaja dilatih untuk mahir dari sudut taktikal, malah perlu menjadi contoh kepimpinan berintegriti dalam masyarakat.
Program ini turut disertai warga PALAPES Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kekuatan seramai 145 anggota sekali gus memperkukuh jaringan sinergi antara institusi pengajian tinggi dalam pembangunan kepimpinan ketenteraan.
Pelaksanaan program ini selari dengan amanat Naib Canselor USIM yang menekankan pembangunan graduan holistik berteraskan integriti, kepimpinan beretika, kecemerlangan akademik serta keseimbangan sahsiah dan spiritual. Penglibatan dalam PALAPES menjadi wahana strategik membentuk mahasiswa yang berdisiplin, berdaya tahan dan bersemangat patriotik.
Inisiatif ini juga mendukung aspirasi Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24 yang menggariskan dua objektif utama iaitu pembinaan sahsiah keperwiraan (warrior ethos) dalam melahirkan pegawai muda berjati diri dan bersemangat patriotik, serta memperkukuh kemampanan organisasi melalui pembangunan modal insan yang profesional, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar sesi amanat kepimpinan, malah menjadi manifestasi komitmen Tentera Darat Malaysia dan institusi pengajian tinggi dalam melahirkan pelapis kepimpinan pertahanan negara yang berintegriti, berwibawa dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.

