NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Kembara Ramadan YB Menteri Pendidikan Tinggi dan Majlis Iftar Perdana USIM 2026 yang berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM).

Program ini disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Majlis ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pendidikan tinggi melalui pendekatan turun padang yang lebih dekat serta menyantuni warga kampus, khususnya mahasiswa. Penganjuran program ini turut menyemarakkan nilai ihsan, solidariti dan kebersamaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam bulan Ramadan yang menuntut keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

Antara pengisian utama program ialah pelancaran Dapur Siswa Madani USIM oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, yang menyediakan juadah berbuka puasa kepada mahasiswa, terutamanya golongan asnaf dan pelajar B40. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan.

Dalam majlis yang sama, Kelab Perwira Malaysia–Aman Palestin turut meraikan seramai 100 pelajar asnaf USIM melalui penyaluran bantuan tiket balik kampung sebagai persediaan menyambut Aidilfitri, sekali gus meringankan beban kewangan mereka.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat dan dana daripada rakan strategik korporat sebanyak RM117,000.00 dari Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan AmMetLife Takaful, manakala Ajinomoto Malaysia Berhad menaja 1,000 pek

Turut berlangsung penyampaian Bakul Rahmah oleh Pusat Wakaf dan Zakat USIM kepada pelajar dan staf yang memerlukan serta Sumbangan Kasih Ramadan berjumlah RM5,000.00, oleh Yayasan Perkasa Siswa kepada pelajar asnaf B40 yang disampaikan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi.

Naib Canselor USIM turut merakamkan penghargaan kepada KPT dan semua penyumbang atas sokongan berterusan dalam memastikan kesejahteraan serta pembangunan mahasiswa dapat dilaksanakan secara holistik dan mampan.