NILAI – Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Sydney Law School, University of Sydney, telah menganjurkan Program Offshore 2.0 pada 13 hingga 17 Julai 2026 bagi memberi pendedahan akademik dan praktikal kepada 21 pelajar dari Australia mengenai sistem perundangan, institusi, komuniti serta kepelbagaian budaya di Malaysia.
Bertemakan Law and Development in Southeast Asia, program mobiliti antarabangsa itu merupakan penganjuran kali kedua susulan kejayaan pelaksanaan program sama pada tahun 2025.
Para pelajar Sydney Law School memanfaatkan cuti semester mereka dengan mengikuti program di USIM bagi mendalami sistem perundangan Malaysia menerusi sesi kuliah, lawatan institusi dan aktiviti pembelajaran berasaskan komuniti.
Program berkenaan dirangka untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai landskap perundangan Malaysia yang tersendiri, termasuk hubungan antara undang-undang sivil dan undang-undang Islam, hak asasi manusia, profesion guaman, pencegahan rasuah, kewangan Islam, isu komuniti Orang Asli serta perlindungan alam sekitar.
Program itu turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dua hala antara USIM dengan University of Sydney, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran akademik dan pembangunan modal insan.
Program dimulakan dengan sesi kuliah mengenai sistem perundangan Malaysia dan profesion guaman. Sesi tersebut memperkenalkan peserta kepada kerangka perundangan negara serta peranan, tanggungjawab dan persekitaran profesional pengamal undang-undang di Malaysia.
Para pelajar kemudiannya mengadakan lawatan ke pejabat Malaysian Bar di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai fungsi badan profesional yang mewakili pengamal undang-undang di Semenanjung Malaysia.
Program diteruskan dengan sesi akademik berkaitan undang-undang hak asasi manusia di Malaysia dan pencegahan rasuah. Peserta seterusnya mengadakan lawatan rasmi ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi memahami mandat institusi tersebut serta peranannya dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia.
Sesi kuliah berikutnya memberi tumpuan kepada undang-undang Islam di Malaysia dan undang-undang kewangan Islam, yang mencerminkan keunikan landskap perundangan dan kewangan negara serta kekuatan USIM dalam mengintegrasikan Ilmu Naqli dan Aqli.
Delegasi turut mengadakan lawatan ke INCEIF University di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pendedahan mengenai perkembangan pendidikan, penyelidikan dan amalan profesional dalam bidang kewangan Islam.
Peserta juga mengikuti kuliah berkaitan isu komuniti Orang Asli dan perlindungan alam sekitar. Topik berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk memahami bagaimana undang-undang serta dasar pembangunan memberi kesan kepada komuniti peribumi, sumber semula jadi dan kelestarian alam sekitar.
Bagi melengkapkan pembelajaran di dalam kelas, delegasi mengunjungi Temuan Homestay di Bukit Kepong untuk merasai sendiri kehidupan dan budaya komuniti setempat.
Mereka turut melawat PD Forest di Sungai Menyala, Port Dickson, bagi mengenali keindahan alam semula jadi Malaysia, di samping meneliti isu berkaitan pemuliharaan, tadbir urus alam sekitar dan pembangunan mampan.
Melalui gabungan sesi kuliah formal, lawatan institusi dan aktiviti lapangan, Program Offshore 2.0 memberi pemahaman yang lebih menyeluruh kepada peserta tentang pelaksanaan prinsip perundangan dalam konteks sosial, ekonomi, agama dan alam sekitar di Malaysia.
Program itu juga menyediakan ruang kepada pensyarah dan pelajar daripada kedua-dua universiti untuk bertukar pandangan, pengetahuan dan pengalaman. Pendedahan tersebut penting dalam melahirkan graduan undang-undang yang memahami pelbagai bidang kuasa serta mampu menangani cabaran serantau dan global yang semakin kompleks.
Bagi USIM, inisiatif tersebut menyokong agenda pengantarabangsaan universiti melalui peluasan kerjasama akademik yang bermakna, selain mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan undang-undang dan penyelidikan perbandingan.
Kerjasama itu turut menyerlahkan peranan FSU dalam memudah cara perbincangan antarabangsa mengenai pembangunan undang-undang di Asia Tenggara, khususnya dalam bidang yang melibatkan undang-undang sivil, undang-undang Islam, hak asasi manusia, peraturan kewangan, kepentingan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Kejayaan Program Offshore 2.0 dijangka menjadi asas kepada kerjasama lanjutan antara FSU USIM dengan Sydney Law School, termasuk pelaksanaan projek penyelidikan, program mobiliti akademik, perkongsian ilmu serta pembangunan staf dan pelajar.
Kelangsungan kerjasama tersebut juga berpotensi meningkatkan pemahaman masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan dan pendidikan Malaysia, di samping memberikan pendedahan lebih luas kepada pelajar kedua-dua institusi mengenai perspektif perundangan perbandingan.
Melalui program seumpama ini, USIM terus memperluas penglibatan akademik antarabangsa yang memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah dan institusi rakan strategik, sekali gus memperkukuh jaringan global dalam bidang pendidikan undang-undang, penyelidikan dan pembelajaran berasaskan komuniti.



