LABU – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyantuni Muhammad Syaqiq Fauzi, bakal mahasiswa program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), menerusi bantuan awal pengajian bagi memastikan kekangan kewangan tidak menghalang beliau meneruskan pengajian di universiti itu.

Muhammad Syaqiq yang dijadualkan mendaftar di USIM pada 14 September ini menerima kunjungan Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, bersama wakil pengurusan universiti serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, YB Maira Hashim di kediaman keluarganya di Labu.

Dalam kunjungan tersebut, bantuan kewangan daripada Pusat Wakaf dan Zakat USIM serta Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) disampaikan bagi membantu beliau membuat persediaan sebelum memulakan pengajian, manakala YB Maira turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin berkata, bakal mahasiswa yang berdepan masalah kewangan tidak seharusnya menjadikan kekangan tersebut sebagai penghalang untuk hadir mendaftar dan meneruskan pengajian di USIM.

“Jika ada masalah kewangan, jangan risau dan datanglah mendaftar kerana insya-Allah USIM akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan mahasiswa dapat belajar dengan baik, sempurna dan memberi fokus kepada pengajian kerana kebajikan anda adalah keutamaan kami,” katanya.

Muhammad Syaqiq merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik dalam keluarganya, bakal menjadi ahli keluarga pertama yang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Usaha itu merupakan sebahagian daripada pendekatan proaktif USIM melalui HEPA dalam mengenal pasti dan membantu bakal mahasiswa yang memerlukan sokongan sebelum memulakan pengajian di kampus.

Inisiatif berkenaan turut selaras dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi supaya institusi pendidikan tinggi sentiasa cakna terhadap kebajikan mahasiswa dan memastikan faktor kewangan tidak menjejaskan peluang mereka memperoleh pendidikan tinggi.

USIM akan meneruskan pendekatan ziarah dan santunan dari semasa ke semasa bagi memahami keperluan bakal mahasiswa lebih awal serta menyediakan sokongan yang bersesuaian supaya mereka dapat memulakan pengajian dengan lebih teratur dan memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik.

Oleh: Muhamad Ikmal Firdaus Mustafa