PERTH – Seramai 12 mahasiswa Program Da’wah dan Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai program mobiliti antarabangsa Global Islamic Students Outreach (GISO) Perth 2026 di Perth, Australia Barat dari 21 hingga 26 Ogos 2026 baru-baru ini.
Program yang mendapat tajaan Malaysian Relief Agency (MRA), Yayasan Terengganu dan Saphora Book Hub itu memfokuskan pendedahan global menerusi aktiviti street da’wah, pertukaran budaya serta libat urus bersama komuniti Muslim tempatan.
Penganjuran program itu bertujuan meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap pendekatan dakwah secara kontekstual dalam persekitaran minoriti Muslim, selain memperkukuh kemahiran komunikasi silang budaya bagi membentuk strategi dakwah yang lebih inklusif dan praktikal.
Antara pengisian utama ialah aktiviti street da’wah di Victoria Park apabila peserta membantu mempromosikan reruai maklumat kendalian Unit Da’wah Masjid Al-Taqwa, Mirrabooka kepada masyarakat setempat.
Aktiviti tersebut dibimbing oleh Ustaz Muhammad Nuur yang menekankan pendekatan da’wah bi al-‘aqli berteraskan hujah rasional dan dialog kritis yang bersesuaian dengan corak pemikiran masyarakat Barat.
Mahasiswa USIM turut menyertai sukan berpasukan Jugger League sebagai medium mengaplikasikan da’wah bi al-hal menerusi semangat kesukanan, interaksi mesra dan penonjolan akhlak Islam dalam kehidupan seharian.
Delegasi kemudian mengadakan kunjungan ke Masjid Al-Taqwa bagi mendalami struktur urus tadbir institusi serta strategi dakwah dalam komuniti majmuk, selain menunaikan solat Zohor berjemaah dengan laungan azan oleh Bendahari GISO Perth, Haziq Imran Jamiliey, 22.
Kunjungan itu turut diisi dengan rakaman podcast bersama Pengarah GISO Perth, Abdul Sayyidbah Abdul Aziz, 22, dan Ustaz Muhammad Nuur yang membincangkan topik “Kepentingan Da’wah bagi Seorang Muslim”.
Dalam memperluas jaringan akademik, delegasi turut mengadakan lawatan ke The University of Western Australia (UWA) bagi memperoleh pendedahan mengenai sistem pendidikan tinggi di Australia.
Peserta seterusnya mengadakan sesi pertukaran pandangan bersama Muslim Students’ Association (MSA) di Curtin University serta mengunjungi Australian Islamic College (AIC), Kewdale bagi mengenali pendekatan pendidikan Islam di negara itu.
Dalam kunjungan ke AIC, mahasiswa turut memperkenalkan USIM serta Falsafah Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (iNAQ) yang mendapat perhatian pihak kolej kerana dilihat mempunyai potensi besar dalam pembangunan pendidikan Islam.
Abdul Sayyidbah berkata, pengalaman sepanjang program itu merupakan manifestasi praktikal kepada falsafah integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi teras pendidikan di USIM.
“Mesej tauhid perlu digarapkan dengan komunikasi silang budaya dan strategi rasional (Aqli) agar mudah difahami masyarakat Barat,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan da’wah bi al-‘aqli menerusi dialog dan da’wah bi al-hal melalui aktiviti sukan membuktikan keluwesan nilai Islam, sekali gus membantu melahirkan pendakwah muda yang kompeten dalam mendepani cabaran global.
GISO Perth 2026 menjadi platform kepada mahasiswa USIM untuk mengaplikasikan ilmu dalam konteks sebenar, memperluas pengalaman antarabangsa serta memperkukuh peranan mereka dalam menyantuni masyarakat global melalui pendekatan dakwah yang relevan dan berkesan.
Oleh: Aniq Najmi Johari





