NILAI – Seramai 68 ahli akademik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diperkasa dengan pengetahuan dan kemahiran penyeliaan menerusi Bengkel dan Wacana Penyeliaan Pascasiswazah USIM Bil. 1/2026 bagi meningkatkan kualiti bimbingan penyelidikan serta pembangunan pelajar siswazah.
Bengkel anjuran Bahagian Pengurusan Siswazah (BPS) itu berlangsung di Galeri Canselori, USIM pada 24 Ogos lalu dengan penyertaan ahli akademik daripada pelbagai fakulti termasuk Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), khususnya pensyarah baharu serta mereka yang sedang membuat persediaan bagi kenaikan pangkat.
Penganjuran itu memberi pendedahan mengenai proses penyeliaan pelajar pascasiswazah secara penyelidikan dengan penekanan terhadap peranan dan tanggungjawab penyelia dalam membimbing penyelidikan secara terancang dan berkesan.
Peserta turut didedahkan kepada peraturan pengajian siswazah USIM, dinamika penyeliaan, kemahiran pengurusan serta teknik penyeliaan yang praktikal bagi memperkukuh tadbir urus dan hubungan antara penyelia dengan pelajar.
Pengukuhan kompetensi penyelia itu turut mengambil kira kemahiran insaniah dan pengetahuan kontemporari bagi memastikan penyeliaan tesis peringkat Sarjana dan Kedoktoran memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Antara pengisian utama ialah perkongsian mengenai ekosistem, peraturan dan struktur tadbir urus penyeliaan pascasiswazah oleh Pengarah Pusat Pengurusan Akademik (PPA), Prof. Dr. Noor Fadzilah Zulkifli.
Aspek penyeliaan efektif pula dikupas oleh Prof. Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, FPQS dan Prof. Madya Ar. ID. Dr. Elina Mohd Husini dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), dengan sesi berkenaan dikendalikan oleh Penyelaras Siswazah FPQS, Dr. Norhasnira Ibrahim.
Peserta juga diberikan gambaran menyeluruh mengenai ekosistem pengajian pascasiswazah merangkumi pengambilan pelajar, kebajikan pengajian, pengurusan peperiksaan serta persediaan mental dan akademik untuk menghadapi ujian lisan atau Viva-Voce.
Prof. Dr. Noor Fadzilah berkata penyeliaan pascasiswazah bukan sekadar melibatkan semakan draf tesis, sebaliknya merupakan amanah dalam membentuk sarjana yang berintegriti dan berkualiti.
“Melalui pengisian bengkel yang selari dengan piawaian MQA ini, kami berharap barisan pensyarah terus bersemangat membimbing para penyelidik muda, sekali gus merealisasikan hasrat universiti untuk melahirkan penyelia pascasiswazah profesional yang memadukan ilmu wahyu (Naqli) dan ilmu akal (Aqli),” katanya.
Pendekatan tersebut selari dengan Integrasi Ilmu USIM yang menggabungkan ilmu Naqli dan Aqli dalam membentuk warga akademik yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang profesional, malah berteraskan nilai, etika, integriti dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah keilmuan.
Oleh: Dr. Norhasnira Ibrahim

