NILAI – Program ASEAN Classroom (ACL) anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti apabila memasuki edisi ke-10 tahun ini dengan menghimpunkan 26 peserta dari Malaysia, Indonesia, Rusia dan Jerman.

ASEAN Classroom 2026 (ACLX) anjuran International Law Unit (ILU), FSU berlangsung dari 24 Ogos hingga 6 September 2026 menerusi gabungan pembelajaran akademik, mobiliti, pertukaran budaya dan edu-tourism yang menjadikan Malaysia sebagai sebahagian daripada ruang pembelajaran peserta.

Program berkonsepkan consultation dan edu-tourism itu merupakan satu-satunya program seumpamanya di USIM yang dilaksanakan secara konsisten selama 10 tahun sejak diperkenalkan bagi membawa pengalaman antarabangsa lebih dekat kepada mahasiswa.

Edisi kali ini melibatkan 13 peserta dari Indonesia, empat dari Rusia, seorang dari Jerman dan lapan dari Malaysia dengan pengisian merentasi Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu.

ASEAN Classroom 2026 merangkumi tiga komponen utama iaitu ASEAN Classroom (ACLX), ASEAN Conference of Law Schools (ACLS) dan ASEAN Classroom Plus (ACL+) yang menggabungkan elemen akademik serta pengalaman silang budaya.

Penyertaan antarabangsa melibatkan Universitas Singaperbangsa Karawang, Universitas Brawijaya, Universitas Jenderal Soedirman, Universitas Islam Indonesia, Universitas Muhammadiyah Surabaya, MGIMO University, Kutafin Moscow State Law University, RUDN University dan Leipzig University.

Program itu turut melibatkan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kedutaan Persekutuan Rusia di Malaysia.

Pengarah ASEAN Classroom 2026 merangkap Koordinator International Law Unit FSU, Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, keupayaan ACL bertahan selama satu dekad mencerminkan perkembangan berterusan jaringan antarabangsa, penyertaan negara dan bentuk pengisian program.

“Pengantarabangsaan tidak berlaku dalam sehari kerana hubungan perlu dibina, kepercayaan perlu dipelihara dan setiap generasi mahasiswa perlu diberikan peluang untuk berinteraksi dengan dunia,” katanya.

Menurut beliau, ACL sejak awal tidak dirangka sebagai lawatan akademik semata-mata, sebaliknya memberi peluang kepada peserta antarabangsa mempelajari kehidupan, sejarah, budaya dan masyarakat Malaysia secara langsung.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan peserta bukan sahaja mengenali USIM, malah membawa pulang pengalaman mengenai Malaysia sekali gus menjadikan ACL platform konsisten untuk memperkenalkan universiti dan negara kepada masyarakat antarabangsa.

Semangat “Bringing the World to USIM” terus menjadi aspirasi utama ACL dengan edisi ke-10 diselaras bersama Dr. Amalina Ahmad Tajudin serta dibantu jawatankuasa mahasiswa dalam pengurusan, logistik dan pengiringan peserta antarabangsa.

Penglibatan mahasiswa dalam pengurusan program turut memberi pendedahan secara langsung terhadap pengendalian program antarabangsa dan komunikasi silang budaya, sekali gus melengkapkan pengalaman pembelajaran mereka di luar bilik kuliah.

Sepanjang program, peserta mengikuti ACLS 2026 di USIM selain mengadakan kunjungan ke Muzium Negara, UiTM Shah Alam dan Melaka sebelum meneruskan ACL+ bersama UMT di Terengganu yang merangkumi program akademik serta lawatan ke Muzium Negeri Terengganu, Kampung Mangkuk di Penarik dan Pulau Redang.

Selepas sedekad, ASEAN Classroom berkembang daripada sebuah inisiatif di peringkat fakulti kepada platform pengantarabangsaan yang mempunyai identiti dan kesinambungan tersendiri dalam membawa dunia ke USIM serta memperkenalkan USIM dan Malaysia kepada dunia.