INDONESIA – Seramai 21 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama seorang pegawai pengiring menyertai Global Islamic Students Outreach (GISO) 2026: A Mission of Growth and Giving (MGG) dari 23 hingga 29 Ogos 2026 di Jember, Jawa Timur, bagi memperluas pengalaman pembelajaran melalui penglibatan akademik, budaya dan komuniti di peringkat antarabangsa.
Program anjuran USIM dengan kerjasama Universitas Muhammadiyah Jember (UNMUH) itu menghimpunkan aktiviti akademik, pertukaran budaya, lawatan pendidikan dan khidmat masyarakat yang membuka ruang interaksi antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia.
Pegawai pengiring delegasi ialah Prof. Madya Dr. Mohamad Zaharuddin Zakaria yang turut terlibat dalam pengisian akademik bersama pensyarah UNMUH sepanjang program berkenaan.
Pengarah Program GISO MGG 2026, Siti Shafiyah Rosli berkata, program itu memberi peluang kepada mahasiswa menghubungkan ilmu yang dipelajari di universiti dengan pengalaman sebenar bersama masyarakat dan rakan antarabangsa.
“Pembelajaran terbaik tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah, malah pengalaman bersama masyarakat dan rakan antarabangsa turut menggabungkan ilmu, adab dan khidmat dalam membentuk Muslim Profesional yang bersedia memimpin, berbakti dan menyumbang di peringkat global,” katanya.
Antara pengisian utama ialah International Student Exchange and Mobility Programme di UNMUH Jember yang melibatkan seminar serta pertukaran kuliah bersama pensyarah daripada kedua-dua institusi.
Delegasi turut mengadakan sesi bersama pelajar SMA Muhammadiyah 3 Jember yang memberi peluang kepada mahasiswa USIM berkongsi maklumat mengenai universiti dan program pengajian yang ditawarkan di samping memahami persekitaran pendidikan di Indonesia.
Lawatan ke Pondok Pesantren Darul Istiqamah dan Pondok Pesantren Baitul Arqom Balung Jember pula mendedahkan peserta kepada sistem pendidikan Islam, pengurusan institusi serta pendekatan pembelajaran yang diamalkan di institusi berkenaan.
Pertukaran budaya di SMA Muhammadiyah 2 Wuluhan turut membuka ruang perkongsian mengenai budaya Malaysia dan Indonesia melalui persembahan tradisional, sesi ilmu dan interaksi bersama pelajar tempatan.
Selain pengisian akademik dan budaya, mahasiswa turut terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan yang menekankan nilai ihsan, kerjasama dan tanggungjawab sosial sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran mereka.
Program berakhir dengan International Short Course di Institut Ahmad Dahlan Probolinggo yang menghimpunkan mahasiswa Malaysia dan Indonesia dalam sesi perkongsian ilmu, dialog akademik serta pertukaran budaya.
Penyertaan menerusi GISO MGG 2026 memperkukuh usaha USIM menyediakan pengalaman pembelajaran rentas negara yang membolehkan mahasiswa membina jaringan antarabangsa, memahami kepelbagaian budaya serta mengaplikasikan ilmu melalui khidmat kepada masyarakat.
Oleh: Nur Ain Jannah Asmawi




