NILAI – Kekurangan penglihatan pada sebelah mata tidak menghalang Muhammad Mukhlis Zulkifli, 21, seorang hafiz al-Quran 30 juzuk, melangkah ke menara gading apabila mendaftar sebagai mahasiswa baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Tuanku Canselor, hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Behrang Stesen, Perak itu menerima tawaran mengikuti pengajian Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) selama empat tahun.

Kejayaan Mukhlis turut disokong rekod akademiknya apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.70 sepanjang pengajian diploma selama dua tahun setengah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Sebelum itu, beliau menimba ilmu di Sekolah Tahfiz Angkatan Tentera, Kem Sungai Besi dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, selain berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Bapanya, Zulkifli Ibrahim, 60, melahirkan rasa syukur apabila anaknya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan berjaya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Walaupun dia tidak dapat melihat dengan sebelah mata, alhamdulillah dia berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran dan mengikuti pembelajaran dengan baik, jadi harapan saya semoga dia terus belajar bersungguh-sungguh serta berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

Ibunya, Zainab Hj Hashim, 58, pula menyifatkan Mukhlis sebagai seorang anak yang berdikari dan sentiasa bersemangat menguruskan kehidupan sendiri walaupun berdepan cabaran penglihatan.

Menurutnya, pengalaman tinggal di asrama sejak di bangku sekolah membantu Mukhlis membina keyakinan dan berdikari dalam menjalani kehidupan serta pengajian.

“Mukhlis sama seperti anak-anak lain, aktif dan sudah biasa berdikari sejak di asrama, dan kami sekeluarga sangat berbangga dengan pencapaiannya hari ini,” kata ibunya lagi.

Kejayaan Mukhlis melangkah ke universiti dengan rekod hafazan dan pencapaian akademik yang baik mencerminkan bahawa keterbatasan fizikal tidak harus menjadi penghalang untuk seseorang mengejar pendidikan dan membina masa depan.

USIM menjangkakan seramai lebih 3,100 pelajar bakal mendaftar bagi sesi kali ini yang berlangsung pada 14 dan 15 September.

Oleh: Nur Khadija Sulaiman