NILAI – Berbekalkan wang simpanan hasil bekerja sambilan selepas menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Muhammad Zafran Saufi Yussri, 19, akhirnya melangkah ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi memulakan pengajian pada Sesi Akademik 2026/2027.

Anak keempat daripada lima beradik yang berasal dari Jempol, Negeri Sembilan itu mendaftar di Dewan Tuanku Canselor hari ini, dengan ditemani keluarganya sebelum memulakan pengajian Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam dengan Kepujian di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).

Membesar dalam keluarga sederhana dengan bapanya yang tiada pekerjaan tetap manakala ibunya sebagai petugas kebersihan menjadi pendorong kepada Zafran untuk berusaha mengurangkan beban kewangan keluarga.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Mustapha, Batu Kikir itu memilih bekerja sambilan sebaik selesai peperiksaan STAM bagi mengumpul wang untuk menampung persediaan dan kos kemasukan ke universiti.

“Saya mencari kerja sambilan selepas peperiksaan STAM kerana mahu membantu emak dan tidak mahu menyusahkan keluarga untuk membayar kos kemasukan universiti,” katanya.

Hasil titik peluh itu akhirnya digunakan untuk membiayai sebahagian keperluan pendaftarannya, sekali gus membolehkan beliau memulakan perjalanan sebagai mahasiswa tanpa bergantung sepenuhnya kepada ibu bapanya.

Bagi Zafran, kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading membawa makna besar selepas usaha bekerja dan menyimpan wang sendiri sejak tamat persekolahan.

Zafran yang ditempatkan di Kolej Kediaman Sutera Indah kini bersedia memulakan kehidupan baharu di kampus dengan membawa harapan untuk mengubah masa depan diri dan keluarga melalui pendidikan.

Langkah yang diambil beliau untuk ke menara gading membuktikan bahawa kekangan kewangan tidak semestinya mematahkan cita-cita apabila disertai usaha, perancangan dan kesungguhan untuk meneruskan pendidikan.

Oleh: Nur Khadija Sulaiman