GLASGOW – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi penyertaan sulung dalam European Association for International Education (EAIE) Glasgow 2026 yang membuka ruang kerjasama strategik dengan 30 institusi dari 13 negara.
Penyertaan yang berlangsung pada 6 hingga 12 September 2026 itu menjadi kesinambungan usaha universiti memperluas keterlihatan dalam komuniti pendidikan tinggi global selepas penyertaan dalam EURIE 2025 dan APAIE 2026.
Sebanyak 30 institusi dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Ireland, Romania, Türkiye, Perancis, Montenegro, Estonia, Mesir, Oman, India, Senegal dan Thailand dikenal pasti sebagai rakan berpotensi bagi membangunkan kerjasama antarabangsa.
Pertemuan dan libat urus sepanjang persidangan memberi ruang kepada USIM memperkenalkan kekuatan serta keunikan universiti, selain meneroka bidang kerjasama yang berpotensi dikembangkan secara strategik.
Antara peluang yang dibincangkan termasuk mobiliti pelajar dan staf, kerjasama akademik dan penyelidikan serta bentuk kerjasama melalui Erasmus+, Memorandum Persefahaman (MoU) dan Letter of Intent (LoI).
Menurut Pengarah USIM ‘Alamiyyah, Prof. Madya Dr. Sofia Hayati Yusoff, penyertaan tersebut menunjukkan jaringan antarabangsa yang dibina secara konsisten berupaya diterjemahkan kepada peluang kerjasama yang lebih bermakna.
“Penyertaan USIM di EAIE Glasgow 2026 membuktikan bahawa jaringan antarabangsa yang dibina secara konsisten mampu diterjemahkan kepada peluang kerjasama yang lebih bermakna, manakala penerimaan daripada institusi antarabangsa menunjukkan bahawa USIM semakin dikenali sebagai rakan strategik dalam pendidikan tinggi global,” katanya.
Penyertaan tersebut turut menjadi platform untuk memperluas peluang mobiliti pelajar dan staf, memperkukuh kerjasama akademik serta penyelidikan dan membangunkan perkongsian strategik dengan institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia.
Pendekatan pengantarabangsaan berteraskan Integrasi Ilmu turut menghubungkan kekuatan ilmu, kepakaran profesional dan nilai Islam dengan keperluan pendidikan tinggi global.
Pendekatan tersebut selari dengan usaha USIM melahirkan Muslim Profesional yang mampu menyumbang di peringkat nasional dan antarabangsa.
Penglibatan di EAIE Glasgow 2026 turut memperlihatkan perkembangan jaringan antarabangsa USIM daripada sekadar membina hubungan kepada penerokaan peluang kerjasama yang lebih konkrit dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti.
Penyertaan berkenaan meneruskan momentum pengantarabangsaan USIM melalui platform global seperti EURIE 2025, APAIE 2026 dan EAIE Glasgow 2026.
Jaringan yang dibina melalui platform antarabangsa tersebut dijangka membuka ruang kepada perkongsian yang memberi nilai tambah kepada mahasiswa, staf serta agenda pengantarabangsaan universiti.
Usaha berterusan ini memperlihatkan komitmen USIM untuk menghubungkan kepakaran universiti dengan komuniti pendidikan tinggi global serta membangunkan perkongsian yang memberi manfaat kepada warga universiti dan rakan strategik antarabangsa.
Oleh: Prof. Madya Dr. Sofia Hayati Yusoff


