NILAI – Fenomena Fear of Missing Out (FOMO) dan Joy of Missing Out (JOMO) menjadi antara fokus yang diketengahkan menerusi Program Advokasi Kepenggunaan KPDN-MACFEA: “Kita Gempur Mahasiswa” bertemakan “FOMO @ JOMO?” di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 17 Oktober baru-baru ini.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) serta USIM itu bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai hak pengguna, literasi kewangan dan kepentingan membuat keputusan pembelian secara bijak.
Penceramah jemputan, Puan Maryanti @ Mardhiyyah Abd. Malek, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kepenggunaan dan Persaingan, KPDN, berkongsi mengenai cabaran kepenggunaan dalam era digital yang banyak dipengaruhi media sosial, trend dan gaya hidup semasa.
FOMO merujuk kepada kecenderungan seseorang untuk berbelanja kerana bimbang ketinggalan sesuatu trend atau pengalaman, manakala JOMO menggalakkan seseorang membuat pilihan berdasarkan keperluan sendiri tanpa terpengaruh dengan tekanan sosial atau trend semasa.
Perbincangan turut menekankan kepentingan mahasiswa membezakan antara keperluan dan kehendak, menilai sesuatu tawaran secara kritis serta membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sendiri.
Melalui program tersebut, mahasiswa didedahkan kepada kepentingan membina tabiat kewangan yang sihat, mengelakkan pembaziran dan memahami hak serta tanggungjawab sebagai pengguna.
Program yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut menjadi platform kerjasama antara KPDN, MACFEA dan USIM dalam memperluas pendidikan kepenggunaan serta memupuk budaya pengguna yang lebih berhemah dalam kalangan generasi muda.
Oleh: Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee

