BANGI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima geran penyelidikan bernilai RM82,000 daripada Maybank Islamic Berhad bagi menyokong kajian berkaitan pembiayaan akhir (end financing) untuk pembangunan hartanah wakaf.

Penyerahan geran oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Encik Mohamad Yasin Abdullah, kepada Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, berlangsung sempena Shariah Forum 2026 bertemakan “Pembiayaan Akhir Hartanah Wakaf: Analisis Isu-Isu Syariah Terpilih” di Bangi Resort Hotel, hari ini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, yang turut menyempurnakan perasmian penutup forum berkenaan.

Geran tersebut bertujuan menyokong penyelidikan akademik dalam menangani isu-isu Syariah berkaitan pembiayaan akhir serta membantu memperkukuh instrumen pembiayaan bagi pembangunan hartanah wakaf.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, tanah wakaf mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dan dimanfaatkan bagi kepentingan masyarakat, namun memerlukan pendekatan pembiayaan yang inovatif dan strategik.

“Wakaf merupakan salah satu instrumen penting dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam. Dalam konteks Malaysia, tanah wakaf mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan dan dimanfaatkan bagi kepentingan masyarakat. Justeru, pembiayaan akhir bagi hartanah yang dibangunkan di atas tanah wakaf merupakan antara aspek yang wajar diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan pembiayaan akhir turut menimbulkan pelbagai persoalan Syariah yang memerlukan penelitian, khususnya berkaitan struktur pembiayaan, hak manfaat, tanggungjawab pihak terlibat serta pemeliharaan prinsip wakaf.

“Saya percaya bahawa forum ini tidak seharusnya dilihat sebagai sebuah wacana akademik semata-mata. Sebaliknya, hasil perbincangan dan penelitian yang dilaksanakan diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan satu kerangka penyelesaian Syariah yang lebih komprehensif dan praktikal dalam menangani isu-isu pembiayaan akhir hartanah wakaf,” katanya.

Sementara itu, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, institusi perbankan Islam, institusi wakaf dan badan pengurusan zakat bagi memperkukuh pembangunan sektor wakaf.

“Saya berharap pihak USIM dapat terus membuka ruang dan peluang jalinan kerjasama strategik menerusi inisiatif seumpama ini bersama agensi perbankan Islam, institusi wakaf serta badan pengurusan zakat. Saya mengajak pihak universiti dan bank-bank Islam untuk mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi serta pertubuhan berkaitan,” katanya lagi.

Forum anjuran bersama Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM dan Maybank Islamic Berhad itu membincangkan pelbagai isu Syariah berkaitan pembiayaan akhir hartanah wakaf, termasuk hartanah terbengkalai, kerosakan akibat force majeure, rahn al-manfa‘ah, kedudukan waris sekiranya pelanggan meninggal dunia dalam tempoh pajakan, penentuan harga sewaan selepas tamat tempoh pajakan, ta‘widh serta pemindahan manfaat.

Turut memberikan input dalam forum ialah Ahli Lembaga Pengarah Maybank Islamic Berhad, Prof. Dato’ Dr. Aznan Hassan, serta Pengerusi Jawatankuasa Syariah Maybank Islamic Berhad, Dr. Akhtarzaite Abdul Aziz.

Selain penyerahan geran, forum turut menyaksikan pembentangan Resolusi Isu-Isu Syariah Terpilih Pembiayaan Akhir Wakaf di Malaysia oleh penyelidik USIM, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Salleh, yang memberi tumpuan kepada usaha memudah cara proses kelulusan di peringkat Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta institusi perbankan Islam.

Kerjasama antara akademia, industri dan institusi agama tersebut diharapkan dapat menghasilkan penyelesaian Syariah yang lebih praktikal serta memperkukuh tadbir urus dan pembangunan aset wakaf secara sistematik, mampan dan berdaya saing.

Oleh: Eizza Anis Nafiesha Ag Ghani dan Nur Khadija Sulaiman