NILAI – Sebanyak sembilan karya filem pendek mahasiswa dipertandingkan menerusi Festival Filem USIM (FIKRA) 2026, sekali gus menjadikan medium perfileman sebagai ruang kreatif untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat.
PrimeCrew Production dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) muncul juara menerusi filem Nanti, diikuti Ruang Rasa Production dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) menerusi Jalan Kita di tempat kedua, manakala Majaz Production dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) menerusi Cahaya di tempat ketiga.
Penganjuran FIKRA 2026 oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) bersama Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) menghimpunkan lebih 100 mahasiswa sebagai tenaga produksi daripada pelbagai fakulti. Majlis Anugerah FIKRA 2026 yang berlangsung pada 14 Oktober baru-baru ini di Dewan Kuliah Utama telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Haji Mohamad Isa.
Profesor Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam berkata, filem bukan sekadar medium hiburan, malah mampu menjadi wahana pendidikan dan penyampaian nilai kepada masyarakat.
“Karya perfileman pada hari ini bukan hanya satu hiburan, malah ia mampu menjadi medium pendidikan untuk menyampaikan mesej, membentuk fikrah dan membawa nilai kepada masyarakat,” katanya.
Melalui penghasilan filem pendek, mahasiswa diberi ruang menggabungkan kemahiran perfileman, penceritaan dan visual kreatif bagi menyampaikan mesej yang dekat dengan masyarakat, khususnya generasi muda yang aktif menggunakan kandungan digital.
Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM merangkap Ketua Juri FIKRA 2026, Profesor Dr. Faizal Kasmani berkata, penghasilan sesebuah filem memerlukan idea yang jelas, perancangan teliti, kerjasama berpasukan dan komitmen semua pihak yang terlibat.
“FIKRA 2026 memperlihatkan potensi perfileman dan kandungan digital sebagai medium dakwah yang mampu menggabungkan kreativiti, kemahiran teknikal dan penyampaian mesej yang bermakna kepada masyarakat”, katanya lagi.
Antara karya yang dipertandingkan ialah Satu Lagi Kerusi daripada Fakulti Pergigian serta dua karya masing-masing daripada Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), manakala fakulti lain masing-masing menghantar satu karya.
FIKRA 2026 turut mempertandingkan kategori Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Produksi Harapan dan Poster Terbaik, selain kategori pilihan penonton.
FIKRA 2026 bermula dengan pendaftaran kumpulan pada 11 Mei 2026, diikuti bengkel sinematografi, penulisan skrip dan pengarahan sepanjang bulan Mei. Karya peserta kemudiannya dihantar pada 2 September 2026 sebelum dipersembahkan dalam Majlis Tayangan Perdana pada 9 Oktober 2026 dan kemuncaknya Majlis Anugerah FIKRA 2026 pada 14 Oktober 2026.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini


