SEREMBAN – Yayasan Munarah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah, serta StraComm Clique, kelab mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menjayakan Program Kem Kembara Ilmu SPM 2026 Siri 2 di Klana Resort Seremban pada 17 dan 18 Oktober 2026.
Program persediaan akademik selama dua hari satu malam itu melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dari sekolah-sekolah di daerah Kuala Pilah bagi memperkukuh kemahiran, keyakinan serta strategi menghadapi peperiksaan.
Enam subjek utama diberi tumpuan menerusi program tersebut iaitu Matematik, Sains, Matematik Tambahan, Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Pengurus Yayasan Munarah, Puan Amalina berkata, pelaksanaan Siri 2 memberi peluang kepada para pelajar membuat persediaan akhir sebelum menduduki peperiksaan SPM pada November ini.
“Berdasarkan pemerhatian sepanjang program berlangsung, para pelajar dilihat lebih positif, bersemangat dan bersedia berbanding Siri 1 yang telah diadakan pada Ogos lalu,” katanya.
Menurut beliau, kesemua 200 pelajar yang mengikuti kedua-dua siri Kem Kembara Ilmu berjaya melengkapkan program hasil komitmen pelbagai pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pengukuhan konsep, teknik menjawab serta analisis format soalan, manakala penglibatan mahasiswa StraComm Clique turut memberikan sokongan dari aspek fasilitasi dan motivasi kepada para peserta.
Program tersebut turut menerima maklum balas positif daripada pelajar dan guru pengiring, khususnya dari segi penyampaian penceramah, suasana pembelajaran serta kemudahan yang disediakan sepanjang kem berlangsung.
Kerjasama antara Yayasan Munarah, PPD Kuala Pilah dan StraComm Clique ini memperlihatkan peranan mahasiswa dalam menyokong usaha pembangunan pendidikan serta memberikan manfaat kepada calon SPM melalui perkongsian ilmu, motivasi dan pengalaman.
Oleh: Emir El-Abqariy Kamarul Azmi


