KUALA LUMPUR – Seramai 29 mahasiswa Program Pengurusan dengan Pelancongan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat pendedahan langsung mengenai perkembangan industri pelancongan negara menerusi lawatan akademik ke Malaysia Tourism Centre (MATIC), Ampang, Kuala Lumpur pada 29 Oktober lalu.

Penyelaras dan Ketua Rombongan, Dr. Muhammad Rozien Zakwan, berkata lawatan akademik tersebut memberi peluang kepada mahasiswa menghubungkan pembelajaran di bilik kuliah dengan pengalaman sebenar industri menerusi perkongsian daripada pihak berkaitan.

Sepanjang lawatan, mahasiswa mengikuti empat sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia, merangkumi aspek komunikasi strategik, dasar pelancongan, pembangunan modal insan dan strategi pemasaran destinasi.

Sesi pertama menerusi perkongsian Encik Azmi Abd Majid daripada Bahagian Komunikasi Korporat MOTAC memberi pendedahan mengenai Peranan Komunikasi Strategik dan Pengurusan Imej MOTAC, termasuk fungsi pelbagai agensi dalam ekosistem pelancongan serta kepentingan komunikasi strategik dalam membentuk imej organisasi.

Perkongsian seterusnya oleh Puan Shereen Harun daripada Bahagian Dasar Pelancongan menerusi tajuk Hala Tuju DPN 2020–2030 ke Arah Pelancongan Berkualiti, Inklusif dan Mampan mengetengahkan kepentingan mengimbangi pertumbuhan sektor pelancongan dengan pemeliharaan warisan sejarah, budaya dan alam semula jadi negara.

Sementara itu, Encik Faizul Abd Samad daripada Bahagian Pembangunan Industri berkongsi mengenai Pembangunan Modal Insan, Standard Kualiti dan Peluang Kerjaya dalam Sektor Pelancongan, sekali gus memberi gambaran tentang kepelbagaian laluan kerjaya serta kepentingan profesionalisme dan standard kualiti dalam industri tersebut.

Sesi terakhir bersama Encik Ahmad Kamarudin Yusof daripada Tourism Malaysia menerusi tajuk Strategi Menarik Pelancong Domestik dan Antarabangsa pula menekankan kepentingan strategi pemasaran destinasi, penguasaan bahasa dan komunikasi serta pemahaman terhadap pasaran pelancongan antarabangsa.

Menurut wakil mahasiswa, Saudara Akmal Fakhrullah Abdul Karim, lawatan tersebut memberikan perspektif baharu terhadap industri pelancongan yang bukan hanya berteraskan aspek ekonomi, malah turut menuntut tanggungjawab dalam memelihara warisan negara.

Beliau berkata pendedahan tersebut turut membuka minda mahasiswa terhadap kepelbagaian peluang kerjaya dalam sektor pelancongan serta kepentingan kreativiti, komunikasi dan penguasaan bahasa dalam menghadapi cabaran industri.

Selain sesi perkongsian ilmu, mahasiswa turut menyaksikan persembahan kebudayaan oleh artis daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta berpeluang melawat sekitar MATIC bagi mengenali dengan lebih dekat keunikan seni, budaya dan tarikan pelancongan Malaysia.

Lawatan akademik tersebut sekali gus memperkukuh hubungan antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri, di samping memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk membina pengetahuan, kemahiran dan keyakinan sebelum melangkah ke alam kerjaya dalam sektor pelancongan negara.