NILAI – Bergelar peguam, aktif dalam kepimpinan belia di peringkat antarabangsa dan pada masa sama meneruskan pengajian bukan halangan buat Nur Rasyiqah Unigkutti, 26, untuk bergelar graduan Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) di sidang ketujuh Majlis Konvokesyen ke-24 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan CGPA 3.95 pada 6 November 2026.

Sebelum melanjutkan pengajian dalam DIJAP, beliau terlebih dahulu menamatkan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di USIM pada tahun 2025 dan kini berkhidmat sebagai peguam cara dan peguam bela.

Keputusan untuk terus menuntut ilmu didorong oleh keyakinannya bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam membina keupayaan diri serta menyumbang kepada masyarakat, khususnya dalam memperjuangkan isu kebajikan belia, hak wanita, kanak-kanak dan kemiskinan di peringkat nasional.

“Pengajian dalam bidang undang-undang dan syariah adalah tiang seri untuk membina kebolehan diri untuk berani berkhidmat, menyuarakan isu kebajikan belia, hak wanita, kanak-kanak, serta isu kemiskinan di peringkat nasional,” katanya.

Dalam kesibukan mengimbangi pengajian dan kerjaya, Nur Rasyiqah turut aktif sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia dan terpilih mewakili Malaysia ke India selama tiga minggu menerusi program Viksit Bharat Young Leaders Dialogue 2026 anjuran Kementerian Hal Ehwal Luar serta Kementerian Belia India dengan kerjasama Kerajaan Malaysia.

Sepanjang berada di India, beliau berpeluang bertemu secara langsung dengan beberapa menteri kerajaan India termasuk Menteri Belia dan Sukan India, selain membina jaringan diplomatik dan sosial bersama perwakilan belia dari pelbagai negara seperti Guyana, Mauritius dan Perancis.

Namun, mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar, peguam dan pemimpin belia bukan sesuatu yang mudah, khususnya apabila jadual pengajian, pekerjaan dan program antarabangsa bertembung.

Malah, beliau pernah terpaksa menduduki peperiksaan ulangan bagi dua subjek selepas tarikh peperiksaan bertembung dengan penyertaannya dalam program Viksit Bharat Young Leaders Dialogue 2026 serta perlu memohon cuti kerja untuk menghadiri peperiksaan gantian tersebut.

“Saya pernah terpaksa mengambil peperiksaan ulangan untuk dua subjek kerana tarikhnya bertindih dengan program Viksit Bharat Young Leaders Dialogue 2026 dan perlu memohon cuti kerja khusus untuk menduduki peperiksaan gantian tersebut, tetapi itu tidak membuatkan saya menyerah sehingga saya berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.95,” katanya.

Pengalaman tersebut membuktikan bahawa pengurusan masa, disiplin dan kesungguhan menjadi kunci kepada Nur Rasyiqah untuk mengimbangi kecemerlangan akademik dengan tuntutan kerjaya serta penglibatan dalam kepimpinan belia di peringkat antarabangsa.

Kejayaan Nur Rasyiqah turut mencerminkan aspirasi USIM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai penguasaan ilmu dalam bidang profesional, malah mampu membawa nilai integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam kepimpinan serta khidmat kepada masyarakat.

 

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Siti Nur Insyiraah Sh Hussin