PUTRAJAYA – Penglibatan aktif dalam lebih 150 aktiviti dan program sepanjang pengajian membawa Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini, 24, bekas Presiden Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), meraih IPRMSA Excellence Award 2026 dalam bidang Perhubungan Awam dan Komunikasi.

Anugerah di bawah IPRM Student Association (IPRMSA) itu disampaikan pada majlis IPRM APR Ceremony 2026 yang berlangsung pada 5 November 2026 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta penglibatan mahasiswa dalam bidang Perhubungan Awam dan Komunikasi.

Sepanjang pengajian dalam program Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian, Akmal aktif dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, kewartawanan, produksi media, pengacaraan dan kesukarelawanan, selain menerajui StraComm Clique selama dua penggal berturut-turut.

Pengalaman tersebut turut diperluas menerusi penglibatan profesional sebagai Pelatih Wartawan di Utusan Malaysia di bawah Media Mulia Sdn. Bhd. pada tahun 2026, di samping aktif dalam produksi media, penyiaran radio, pengacaraan dan penghasilan kandungan digital.

Dalam bidang akademik pula, penyelidikan tahun akhirnya bertajuk “Exploring Artificial Intelligence Use Among Malaysian Journalists in Newsroom Production Work” membolehkannya menerima pengiktirafan Pembentang Terbaik pada Pameran Projek Tahun Akhir 2025 sebelum membentangkan kajian tersebut di 26th KL International Communication, Education, Language & Social Science Conference.

Penglibatan aktifnya turut membuahkan beberapa pengiktirafan lain apabila beliau menerima Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa dan Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa menerusi Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) 2024/2025, selain menerima Anugerah Dekan bagi Semester 4, 5 dan 6.

Bagi Akmal, penerimaan IPRMSA Excellence Award 2026 bukan sekadar satu pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus memperbaiki diri dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Saya berharap dapat terus melangkah lebih jauh, memperbaiki diri dan menjadi individu yang lebih baik serta mampu memberikan manfaat kepada orang di sekeliling.”

Beliau turut menyeru mahasiswa agar tidak takut untuk mencuba, berani merebut peluang dan memberikan yang terbaik dalam setiap ruang yang tersedia.

“Just go for it, face it. Jangan takut, jangan malu-malu, rebut peluang yang ada di hadapan mata dan berikan yang terbaik, kalau saya boleh, korang pun mesti boleh.”

Mengimbas pengalamannya bersama StraComm Clique, Akmal turut menitipkan pesanan agar mahasiswa terus berani menampilkan identiti dan kreativiti dalam setiap usaha yang dilakukan.

“Be yourself, brave yourself and also be creative, be crazy, be StraComm Clique.”

Kini, selepas melalui perjalanan akademik yang turut diperkaya dengan pengalaman kepimpinan, profesional dan kokurikulum, Akmal telah bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Ke-24 USIM, yang berlangsung dari 3 hingga 6 November 2026 di Dewan Tuanku Canselor, USIM.