NILAI, 24 OGOS 2015 – Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM dengan kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM menganjurkan sebuah konvensyen bertaraf antarabangsa yang dijangka menghimpunkan mahasiswa dari seluruh dunia terutamanya universiti-unversiti ASEAN yang dinamakan “International Youth Dai’e Convention” bertempat di Dewan Kuliah 4, USIM.
Konvensyen yang julung kali diadakan ini merupakan penganjuran kali ke 3 di mana sasaran pada 2 tahun lepas hanya di peringkat Asean. Istimewanya, konvensyen kali ini akan membawakan tema “Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli”, selari dengan gagasan yang dibawa oleh USIM dalam memartabatkan keilmuan di Malaysia sekaligus menarik golongan muda untuk mengi’zzahkan Islam melalui Al-Quran dan Sunnah.
“Konvensyen ini akan menfokuskan isu, cabaran dan realiti semasa umat Islam pada hari ini. Maka sebagai seorang pendakwah terutamanya anak muda perlu memainkan peranan dalam menceritakan Islam itu sebagai Rahmatan Lilalamin”.
Konvensyen ini memfokuskan kepada dua program utama iaitu persidangan dan seminar. Persidangan mengumpulkan perbincangan di antara mahasiswa sebagai platform untuk melontarkan idea tentang dunia Islam pada hari ini. Antara lain juga, membincangkan ucapan dasar dari tokoh terkemuka dunia Islam berkenaan peranan pendakwah muda terhadap isu-isu serta masalah umum dan khusus masyarakat Islam sekarang seperti Syria, Rohingya, Palestin dan sebagainya
Manakala, seminar merupakan pembentangan kertas kerja oleh tokoh-tokoh ilmuwan yang mana menfokuskan kepada beberapa skop yang dipilih iaitu tasawwuf, ekonomi dan pendidikan.
Konvensyen Pendakwah Muda ini menampilkan intelektual-intelektual dalam dan luar negara seperti SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak Tuan Muhammad Nuri Al Nadir Kamaruzzaman, Tuan Mohd Nazri Chik, Dr Musyaddad Bin Hasbullah dan Prof. Dr Khalif Muammar A. Harris. Antara penampilan istimewa adalah pengasas Pesantren Moden Gontor Ponorogo, Dr Hamid Fahmy Zarkasyi yang berasal dari Indonesia.
Menurut Pengarah Program, saudara Afiq Farhan Mazlan, objektif konvensyen ini adalah untuk mencari ruang baru kepada kebangkitan Islam. “Islam pada hari ini sangat ketinggalan dari pelbagai sudut terutamanya ekonomi dan teknologi. Justeru, konvensyen ini bertujuan mencari apakah ruang terbaik untuk menaikkan semula kegemilangan islam supaaya lebih maju dari sekarang dan mampu menyaingi agama lain”.
Di samping itu, konvensyen ini juga bertujuan untuk mewujudkan jaringan antara pemimpin mahasiswa di peringkat antarabangsa. Kedatangan ramai pimpinan mahasiswa dari pelbagai negara mampu mewujudkan percambahan idea dan pendapat antara pimpinan mahasiswa dari dalam dan luar negara terutama dalam membangunkan modal insan yang berdaya guna di kalangan Universiti Awam Malaysia.
“Konvensyen Pendakwah Muda kali ini diharap dapat membawa kelainan dan menghasilkan output yang baru sebagai rujukan mahasiswa khususnya panduan bagaimana menjadi seorang pendakwah yang benar-benar mampu menerapkan Islam dari setiap aspek,” kata Marbawi Zulkifli, Timbalan Pengarah Konvensyen.
Menurut beliau lagi, konvensyen kali ini boleh menjadi platform terbaik sebagai persediaan kepada pendakwah untuk menjadi orang yang mengubah sesuatu. “Selari dengan ayat al Quran surah al anfal ayat 60, yang mana Allah berfirman dengan mafhumnya kita perlu menyediakan segala persediaan yang ada sebagai kekuatan untuk menegakkan agama Islam, Justeru, pendakwah muda perlu ada persediaan yang baik sebelum menyampaikan Islam ke lapangan masyarakat”.
Besar harapan pihak penganjur konvensyen ini mampu memberikan impak kepada para pendakwah muda kepada seorang yang berilmu, berkepimpinan dan bertaqwa bagi memimpin dunia pada masa akan datang dalam memastikan masa depan adalah di tangan Islam.
Disediakan oleh:
Muhammad Nor Amin Jamaluddin, Biro Sukan MPP
Dikemaskini oleh:
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204