FILIPINA, 8 SEPT – 20 orang mahasiswa tahun empat Pengajian Akidah dan Agama (PERWADAH) tampil untuk bahu-membahu sesama masyarakat yang kurang bernasib baik ke bumi Marawi Filipina. Kembara GISO Filipina selama lapan hari bermula 1 September telah diketuai oleh saudara Muhamad Zakwan Bakar.
Menelusuri kisah-kisah penderitaan rakyat di Rohingya, Syria, Palestin dan lain-lain negara minority Islam begitu menyentap peserta. Hampir setiap hari di dada akhbar dan media massa menghidang isu kemasyarakatan global yang penuh menyayat hati. Tiada siapa yang mampu memekakkan telinga dan terus membutakan mata keatas apa yang telah menimpa saudara seakidah ini. Berat mata memandang kesengsaraan mereka, namun berat lagi bahu yang memikul bebanan kesengsaraan yang melanda.
Antara modus operandi GISO kali ini ialah tidak lain dan tidak bukan untuk menyahut matlamat asal GISO dalam memberi khidmat masyarakat diperingkat antarabangsa, seterusnya menjadi mahasiswa yang prihatin dengan kebajikan masyarakat Islam seluruh dunia. Selain itu, misi GISO ini juga turut menyalurkan sumbangan melalui perkongsian ilmu oleh salah seorang peserta GISO, saudara Muhammad Saiful Azim melalui seminar yang berkisar tentang peranan masjid di Malaysia. Ditambah pula dengan sedikit sebanyak perkongsian budaya hidup dan adat resam bersama masyarakat Marawi.
Muhamad Zakwan juga berkata pada majlis perasmian GISO yang diadakan di Sultan Disomimba Elementary School, matlamat penting GISO kami adalah untuk mengenali budaya dan mengeratkan lagi ukhuwah silaturrahim dan jalinan hubungan yang baik sesama Islam Filipina-Malaysia supaya lebih mengenali satu sama lain.
Amat jelas sekali pegangan akidah masyarakat Islam di Marawi masih utuh dengan berdirinya madrasah tahfiz yang melahirkan ramai permata-permata yang hafaz 30 juz al-Quran. Malah, Mindanou State University (MSU) turut melahirkan ramai graduan muslim iaitu 80% anak muslim dan 20% merupakan non-muslim dari Turki dan Korea.
Menurut Dr. Muhammad Nasief S. Disomimba yang juga merupakan anak jati Marawi merangkap pensyarah pengiring, Marawi merupakan tempat yang didiami oleh sejumlah majoriti masyarakat Islam namun serba kekurangan. Dapat kami saksikan dengan mata sendiri bahawa kenderaan utama mereka adalah (van dan motor) kenderaan awam . Bukan itu sahaja, mereka turut berdepan dengan masalah catuan air dan dan bekalan eletrik yang sering terputus. Struktur bangunan sekolah dan madrasah tahfiz yang uzur sangat menyentuh hati kami. Jauh berbeza keadaan mereka dan kita. Namun itu bukanlah penghalang besar bagi mereka lantaran terbiasa hidup susah.
Dalam mematuhi suruhan junjungan besar Rasulullah SAW agar memuliakan tetamu, kami disambut penuh hormat dan meriah meskipun kehidupan mereka dhaif. Malah diraikan dengan pelbagai jenis juadah. Sungguh masyarakat itu ramah dan sangat menerima dengan hati terbuka akan jalinan silaturrahim dari Malaysia. Komunikasi bukanlah satu masalah besar bagi kami sepanjang berprogram disana kerana majoriti dari kalangan mereka mampu mengaplikasikan bahasa inggeris dan arab dengan fasih dalam kehidupan seharian mereka.
Skop GISO bukan terhenti pada perkongsian ilmiah sahaja, malah kami turut menyumbangkan sumbangan material untuk memenuhi keperluan ibadah masyarakat muslim disana seperti sumbangan al-Quran wakaf sempena Projek Wakaf Sejuta Al-Quran, sejadah dan tudung. Misi GISO kami turut menyumbangkan dua ekor lembu sempena kenduri bersama orang kampung di desa Marawi. Dari situ, jelas sikap kerjasama dan toleransi yang ditunjukkan oleh masyarakat dua serumpun ini. Selain itu, bimbingan rohani dan moral juga penting buat golongan Islam yang terpencil. Sebagai mahasiswa yang terdidik dan proaktif, kita haruslah menyahut seruan aktiviti kemasyarakatan dengan sikap terbuka dan minda yang positif.
Sehubungan dengan itu, mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menaruh harapan besar agar segala usaha ini mendapat sokongan dan diterima oleh semua golongan masyarakat di luar sana malah akan diteruskan lagi oleh generasi seterusnya. Menyumbanglah dengan apapun sumbangan supaya amal kebajikan tidak hanya terhenti disini, akan ada nilaiannya disisi Allah kelak.
Disediakan oleh:
Siti Nor Hayati bt Mohd Daud
Unit Program dan Pengisian Giso Marawi Filipina 2015
Dikemaskini oleh:
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204