NILAI, 8 APRIL 2015- Pelancaran Buku “Sains Aktuari: Dari Aktuarius ke Aktuari” disambut meriah dengan kehadiran para pelajar, pensyarah dan guru dalam bidang Sains Aktuari yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3, Universiti Sains Islam Malaysia. Majlis dirasmikan oleh Menteri Pendidikan ІІ Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Bin Jusoh.Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Encik Kamarul Zaman Shaharudin, Naib Canselor USIM Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad dan penulis buku tersebut Dr. Haslifah Mohamad Hashim.
Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, program Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko yang ditawarkan di USIM telah bermula sejak sesi 2005/2006. Sehingga Sesi Akademik 2014/2015, jumlah pelajar di peringkat sarjana muda adalah seramai 320 orang dan sebanyak 5 kohot pelajar telah bergraduat menjadikan alumni sarjana muda bagi program ini adalah seramai 127 orang.
“Selari dalam mengangkat niche USIM iaitu menerajui Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, program ini agak unik berbanding program sains aktuari yang ditawarkan di luar sana kerana kurikulumnya diadun antara ilmu konvensional (aqli) dan ditambah dengan nilai-nilai agama (naqli)”.
“Sebagai contoh pelajar dikehendaki mengambil kursus Teori Hibah & Faedah kompaun dan Prinsip Insurans & Takaful yang mana kedua-dua subjek ini menggabungkan elemen pengetahuan bersifat konvensional dan pada masa sama mempelajari sistem yang berlandaskan Syariah. Uniknya, gabungan kedua-dua elemen naqli dan aqli dalam satu subjek tidak ditawarkan di institusi lain menjadikan pelajar sains aktuari USIM berpengetahuan tinggi dalam kedua-dua sistem kewangan konvensional dan Syariah dan lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan korporat yang serba mencabar”, tambah Dato’ Musa.
Penulis buku iaitu Dr. Haslifah Mohamad Hashim, merupakan pengarah program Sains Aktuari dan pensyarah di Jabatan Sains matematik, University of Essex, United Kingdom. Beliau berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang akademik dan penyelidikan dan kepakaran beliau adalah dalam menilai monetary manusia, ekonomi insurans hayat dan penyelidikan berkaitan sains aktuari. Beliau juga merupakan perunding dalam beberapa projek di peringkat antarabangsa dalam bidang sains aktuari.
Turut diadakan slot simposium bertajuk ‘Kepentingan Aktuari Dalam Pembangunan Negara’. Slot ini disertai oleh wakil daripada Unit Aktuari, Kementerian Kewangan Malaysia serta wakil daripada Fakulti Sains dan Teknologi dalam bidang Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko dari universiti tempatan untuk membentangkan kertas kerja mengenai kepentingan aktuari dan sains aktuari dalam perancangan ekonomi dan pelan pembangunan Negara yang melibatkan pembentukan dasar dan polisi awam.
Simposium ini bertujuan untuk membincangkan kepakaran ilmu aktuari yang boleh digunakan oleh kerajaan Malaysia bagi menyelesaikan pelbagai isu kewangan serta memainkan peranan penting dalam merangka dasar dan polisi awam.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204