LANGKAWI, 23 NOV 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memainkan peranan penting sebagai sebuah IPTA yang menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat berkenaan pencegahan dan pemulihan penyalahgunaan dadah dengan penganjuran menganjurkan Seminar Antarabangsa Pencegahan Dan Rawatan Pemulihan Dadah 2015 (PREVENT 2015) selama dua hari bermula 23 hingga 24 November 2015 bertempat di Akademi Koreksional Langkawi.

Dianjurkan oleh pusat kecemerlangannya iaitu Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) telah dirasmikan sebentar tadi YB Dato’ Dr. Leong Yong Kong, Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Menurut ACREDA dalam satu kenyataan, pihaknya mengambil inisiatif untuk menganjurkan PREVENT pada tahun ini sebagai usaha pencegahan yang berstrategik dan pemulihan yang holistik.

“Seminar ini melibatkan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan pusat-pusat pemulihan dadah di seluruh Malaysia, agensi kerajaan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Polis, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Agama, Jabatan Pengajian Tinggi dan lain-lain agensi yang berkaitan. Melalui seminar ini, ia menyediakan ruang dan peluang kepada tenaga pakar dan profesional dari dalam dan luar negara untuk berkongsi idea dan maklumat mengenai isu-isu berkaitan pencegahan dan perkhidmatan pemulihan dadah”.

“Di samping itu, seminar ini menyediakan peluang kepada ahli akademik dan penyelidik dari pelbagai latar belakang dalam meneroka paradigma baru bagi meningkatkan modul pencegahan dan rawatan pemulihan dadah. Bertemakan “Kesedaran dan Tanggungjawab Terhadap Keberkesanan Pencegahan dan Pengurusan Jagaan Lanjutan”, seminar antarabangsa ini dianjurkan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP)”.

“Seminar ini juga menerangkan tentang pendekatan pencegahan berkesan yang boleh diguna pakai oleh ahli masyarakat dalam membantu mengatasi masalah ini. Pada masa yang sama, seminar ini membuka ruang kepada penyelidik dan pengamal untuk meneroka penemuan baru hasil daripada kajian terkini yang berkaitan dengan pencegahan dan rawatan pemulihan dadah”.

PREVENT 2015 secara tidak langsung menjadi platform mempertemukan pelbagai pihak berkepentingan untuk menjana satu jalinan kerjasama ilmu serta pengalaman yang akan menyumbang kepada negara dalam memerangi masalah dadah. Justeru, kaedah pelaksanaan rawatan pemulihan dadah yang berkesan serta efisien akan dapat membantu negara memerangi musuh nombor satu ini.

Turut hadir dalam majlis perasmian yang berlangsung sebentar tadi adalah Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Dato’ Sri Hj. Zulkifli Omar dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Dato’ Suhaimi Abdullah.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204