NILAI, 22 SEPT 2016 – Dalam usaha memperkasakan pentadbiran dan pengurusan harta pusaka, sebanyak 8 kertas kerja dan seramai 600 ratus peserta yang terdiri dari Pegawai Syariah, Hakim- hakim syarie, pengamal undang-undang dan para pelajar tempatan dan antarabangsa telah menghadiri Seminar Kebangsaan Transformasi Pengurusan Harta Pusaka di Malaysia 2016 yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor USIM. Seminar ini turut melancarkan E-Faraid yang dirasmikan oleh YB Dato Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mewakili YAB Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Bertemakan ‘Memperkasakan Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia’ seminar ini ia menyediakan kaedah perkongsian maklumat untuk memartabatkan institusi pentadbiran dan kehakiman syariah di Malaysia. Seminar ini turut memperkenalkan dan merasmikan sistem e-Faraid sebagai salah satu perbincangan dan perkongsian ilmu untuk memastikan fungsi jabatan sebagai penyelaras sistem perundangan Islam dan prosedur kehakiman Syariah untuk dapat dilaksanakan dan diterima pakai di Negeri-Negeri di seluruh Malaysia.
Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr. Musa Ahmad berkata seminar ini merupakan program yang telah dirangka bersama antara kedua institusi USIM dan JKSM setelah memorandum persefahaman dimeterai pada awal bulan ini. Ternyata persefahaman yang telah termetarai ini menghasilkan satu natijah baik dan positif, dan saya mengharapkan akan ada lebih banyak lagi aktiviti berimpak tinggi yang mampu kita laksanakan pada masa akan datang.
“Ini selaras dengan saranan kerajaan yang menggalakkan malah menuntut agar institusi akademik tidak bersendirian di dalam mengharungi cabaran dunia pada hari ini. Dasar kesepunyaan dan keserakanan (commonality dan collegiality) menuntut institusi pengajian tinggi mempunyai rakan strategi dari kalangan pemain industri dan sesama institusi akademik”, tambah Dato Musa.
Yang Berhormat Dato Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapannya berkata tajuk dan tema seminar ini sangat besar dan berharap agar seminar ini memberi impak positif yang besar terhadap pengurusan harta pusaka orang Islam di Malaysia. Seminar ini sangat significant dalam konteks transformasi dan wawasan negara kerana kita sedang dalam track yang tepat bagi memacu dan membina negara untuk menjadi sebuah negara maju dan memenuhi indeks Maqasid Syariyyah di peringkat antarabangsa.
“Jika kita yakin bahawa proses pengurusan harta tersebut yang kita warisi sekian lama adalah lapuk dan tidak lagi sesuai dalam zaman serba moden ini, maka tuan-tuan dan puan-puan bertanggungjawab untuk mencadangkan kepada kerajaan agar kerajaan mempertimbangkan sebarang idea dan cadangan terbaik bagi memudahkan dan transfomasikan pengurusan harta pusaka orang Islam”.
“Satu ketika urusan kelulusan passport oleh pihak Imigresen mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Bagaimanapun hasil inovasi, kreativiti dan transformasi Jabatan Imigresen, tempoh masa tersebut kini dapat dipendekkan sehingga kurang dari 1 hari atau hanya beberapa jam sahaja. Jika Imigresen boleh lakukan, tidak mustahil juga agensi-agensi pengurusan harta pusaka orang Islam termasuk Mahkamah Syariah boleh dan mampu melakukannya. Agensi-agensi mungkin tidak perlu atau tidak mampu menyelesaikannya dalam tempoh 1 hari atau 3 hari, namun saya mencadangkan setidak-tidaknya cuba menyelesaikannya dalam tempoh kurang 7 hari bekerja bagi kes yang tiada pertelingkahan ahli waris, tidak melibatkan jutaan nilai harta dan mempunyai dokumen yang lengkap”, tambah Dato Seri Jamil Khir.
Turut hadir sama pada majlis ini Yang Amat Arif Tan Sri Dr Ibrahim Lembut, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Yang Berhormat Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204