KUALA LUMPUR, 23 SEPT 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini melebar sayap dalam dunia syair dengan mengadakan kerjasama menjayakan persembahan Syair Alam Nusantara yang bertempat di auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, disini.

Program anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Akademi Seni ND LALA dengan kerjasama USIM sendiri ini membawakan tema syair rentas benua dengan penglibatan pendendang syair hebat dari negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.

Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, dalam ucapannya  berkata pemilihan syair dalam persembahan ini dibuat kerana genre ini semakin kurang diketengahkan walaupun berkembang di Nusantara sejak sekian lama.

“Syair sudah sinonim dengan masyarakat kita selain terselit sindiran dan teguran secara halus dan santai,”

Syair Alam Nusantara dalam hal ini katanya titik permulaan untuk melihat apa yang perlu diangkat dan diketengahkan disamping mampu menyubur rasa kemanusiaan sejagat melalui bait yang dilontarkan.

Tambahnya lagi, persembahan seumpama ini mampu merapatkan hubungan antara negara melalui perkongsian sastera dan mengangkat kembali kegemilangan syair.

“Persembahan ini mendapat sambutan luar jangkaan berikutan hebahan di akhbar dan media sosial,” katanya di penghujung majlis.

Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM berkata persembahan pembukaan beliau bersama pelajar kumpulan kesenian pusat kebudayaan USIM pada persembahan syair ini mengandungi mesej berunsur kemanusiaan dan Islam selaras dengan tema syair rentas budaya.

Ujarnya lagi, persembahan ini memupuk pelajar dan generasi muda dalam mengangkat seni syair itu sendiri selaras dengan matlamat Pusat Kebudayaan USIM sebagai Peneraju Seni Berbudaya.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad berkata penglibatan USIM pada kali ini dilihat sebagai platform bagi membudayakan sejarah yang boleh dipersembahkan dan diangkat  oleh USIM.

Jelasnya syair yang dipersembahkan juga disuntik dengan nilai Islam dan unsur sejarah yang digarap kreatif dan sememangnya sesuai dengan jiwa muda pelajar.

“Penglibatan kumpulan kesenian Pusat Kebudayaan USIM dalam iringan muzik pada persembahan syair ini juga amatlah membanggakan walhal mereka bukanlah datang dari jurusan muzik,”katanya lagi.

Menurut Roslan Madun, penyair terkenal tanah air, iringan muzik pada persembahan ini adalah hasil perbincangan beliau bersama pengarah pusat kebudayaan USIM, Ismail Ahmed sekaligus mendatangkan kelainan yang memukau.

“Syair Alam Nusantara ini juga memperkenalkan dan mempopularkan semula syair kepada generasi sekarang disamping menjadi pentas untuk setiap bait syair yang dilantunkan,” katanya.

Lebih 30 kompilasi syair yang didendangkan termasuk sketsa secara langsung oleh Haziq AF, Shafa’atussara Silahudin, Zafirah Bahiah Hassan, Nur Amelyana Noor Kamaruzzaman, Nabila Azmi, Musliha Wardana, Rusmawani Ishak, Syahprizal AR, Juspebgo Setiawan, Nelly Alie, Noor Hawadah Ramle, Hanafi Idrus dan Suraya Masenbangi.

Turut hadir, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Prof Emeritus Dr. Muhammad haji Salleh dan penggiat-penggiat Seni tanah air.

Disediakan oleh:

Ejen Berita Nur Khairul Bariyah Ismail dan Noor Adibah Azmi

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204