Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Dr. Khairunneezam Mohd NoorProgram Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Dalam dunia pekerjaan sejak dahulu hingga kini, sesetengah daripada kita asyik merungut tentang pelbagai perkara. Gaji yang tidak cukup, kerja yang terlalu banyak, rakan sekerja yang tidak ‘sebulu’, ketua yang hanya pandai mengarah ataupun suasana kerja yang tidak kondusif. Ini adalah antara elemen di tempat kerja yang menyebabkan sesetengah orang berasa cukup menyampah hendak berada di tempat kerja. Itu sebabnya ada dalam kalangan kita yang cuba mencari ‘ketenangan’ dengan kerap keluar minum semasa bekerja, melayari internet berjam-jam lamanya, leka berborak dengan rakan sekerja atau sehingga ke tahap ponteng kerja sehingga sanggup menunjukkan majikan surat cuti sakit palsu! Semua ini adalah indikator menunjukkan bahawa produktiviti kerja seseorang itu telah menurun kerana kepuasan kerjanya tidak dipenuhi. Ini kemudiannya memberi kesan negatif terhadap perkembangan kariernya dan juga kemajuan organisasi. Pekerja yang menunjukkan masalah sebegini mungkin akan dikenakan tindakan disiplin atau ke tahap yang lebih teruk dibuang kerja.

Dalam dunia pengurusan sumber manusia, hal ini sangat berkait rapat dengan kepuasan kerja. Istilah kepuasan kerja boleh difahami dengan maksud ‘keadaan emosi yang menyenangkan hasil daripada penilaian seseorang terhadap kehendaknya yang selaras dengan apa yang ada dalam pekerjaannya’. Ini bermakna unsur-unsur yang dikehendaki oleh seseorang itu mestilah wujud di tempat kerjanya jika dia mahu berasa puas semasa bekerja. Zahirnya, puas atau tidak seseorang itu sangat bergantung kepada apa orientasi diri atau matlamatnya dalam bekerja. Kalau orientasi diri seseorang terfokus kepada gaji, maka dia mengharapkan agar gaji yang diperolehnya besar atau setidak-tidaknya kena dengan kehendaknya. Kalau orientasi diri seseorang terfokus kepada keselesaan di tempat kerja, maka tempat kerja yang bersih, nyaman dan selesalah yang menjadi idamannya. Namun, tidak semua orang mempunyai orientasi diri yang sama, bahkan apa yang mempengaruhi kepuasan kerja seseorang juga berubah dari semasa ke semasa.

Berkaitan dengan hal kepuasan kerja ini, sekumpulan penyelidik yang terdiri dalam kalangan staf kategori Pengurusan dan Profesional (P&P) telah diberi ruang oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk melaksanakan kajian berkaitan, dengan menggunakan dana khas yang telah diberikan oleh pihak universiti.

Kajian yang diterajui oleh Puan Nor Azzah Momin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan ini berkisar kepada isu penggunaan kepakaran staf dan kaitannya dengan kepuasan kerja staf di USIM. Kakitangan P&P di USIM mempunyai latar belakang pendidikan daripada pelbagai bidang disiplin seperti sastera, sains sosial dan sains tulen. Manakala jawatan yang disandang boleh dikatakan sebagai tidak sealiran dengan bidang kepakaran. Ada kemungkinan bidang pendidikan asal mulai ditinggalkan kerana tiada ruang atau peluang untuk dipraktis dan dimahirkan semula. Lalu muncul persoalan, adakah kakitangan berpuas hati dengan penggunaan kepakaran mereka oleh organisasi tempat mereka bekerja.

Selain itu, terdapat juga kakitangan yang mempunyai minat dan kebolehan yang diiktiraf oleh pihak tertentu berkenaan kebolehan yang tidak bersangkut paut dengan jawatan semasa. Misalnya seperti memberi ceramah agama atau motivasi, menjadi jurulatih sukan, menjadi sukarelawan dan sebagainya. Hal ini sedemikian turut berlaku di mana-mana organisasi kerajaan mahu pun swasta yang lain. Hasil kajian ini mendapati bahawa staf P&P USIM mempunyai kepuasan kerja yang tinggi walau pun kepakaran mereka tidaklah digunakan sepenuhnya dalam konteks kerja semasa di USIM.

Kajian yang dilaksanakan oleh pihak staf USIM ini merupakan salah satu usaha yang dibuat untuk merungkai faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kepuasan kerja seseorang di organisasi. Faktor-faktor ini pula mempunyai pengaruh yang mungkin berbeza di organisasi lain, atau berbeza mengikut perubahan keadaan dan masa.

Jika dilihat dari aspek gaji pula, mungkin dapatannya akan menjadi berbeza. Ada orang sentiasa tidak berpuas hati dengan gaji yang diperolehnya. Ini kerana gaji yang diperoleh seseorang itu seringkali dianggap tidak mencukupi kerana kos kehidupan yang semakin membelit leher saban hari, terutamanya bagi warga kotaraya.

Gaji yang cukup sangat perlu untuk membayar duit ansuran bulanan kereta dan rumah, duit petrol kenderaan, barangan dapur, dan sebagainya. Lebih perit lagi bagi yang sudah berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak, perbelanjaan yang harus difikirkan adalah berlipat ganda. Namun, masih juga ianya bersifat subjektif, iaitu jika seseorang bijak berjimat dan menguruskan hal ehwal perbelanjaannya dengan berhemah, masih juga cukup duit untuk menabung di dalam bank bahkan menunaikan haji dan umrah di tanah suci Mekah berkali-kali!

Kepuasan kerja boleh dicipta, dan ia tidak seharusnya berorientasikan faktor-faktor tertentu sahaja. Mungkin kerana terlalu memikirkan rasa tidak seronok terhadap satu-satu elemen, maka kita mengabaikan elemen lain yang besar pengaruhnya dalam membuat kita gembira di tempat kerja. Kita perlu mewujudkan perasaan seronok untuk ke tempat kerja kerana satu pertiga daripada masa dalam kehidupan kita banyak dihabiskan di situ. Itu sebabnya bila tidak seronok bekerja, maka diri kita mencari jalan penyelesaian yang tidak tepat dan menjejaskan produktiviti. Dapatkan bantuan sesiapa untuk memberikan panduan bagaimana mengatasi rasa tidak puas dalam bekerja seperti kaunselor di organisasi atau rakan sekerja yang memahami.

Banyak usaha yang boleh dipraktikkan untuk mewujudkan kepuasan kerja. Jika suasana tempat kerja tidak selesa seperti keadaan meja yang berselerak dan merimaskan, berusahalah menjadikan ianya menarik dan teratur. Misalnya, membawa kuntuman bunga segar dan dihiaskan di atas meja atau meletakkan penyegar udara atau bahan wangian di dalam bilik. Jika selama ini komunikasi dengan rakan sekerja atau pihak pengurus menjadi faktor ketidakpuasan kerja, maka ubahlah cara berkomunikasi seperti memohon maaf, bersifat terbuka dan tidak terlalu sensitif. Jika kerja yang diperoleh dirasakan terlalu banyak, kita perlu mewujudkan kaedah kerja yang sistematik agar semua tugasan dapat dilaksanakan dengan baik. Atau setidak-tidaknya berterus terang dengan memaklumkan kepada pihak atasan bahawa kita tidak mampu melaksanakan tugas-tugas sebanyak itu secara bersendirian.

Banyak kesan positif yang boleh diperoleh jika kita bijak mewujudkan apa yang dikatakan kepuasan dalam bekerja. Kepuasan kerja mampu mewujudkan sifat integriti kerana setiap tugasan yang perlu dibuat dianggap sebagai amanah dan kepercayaan oleh organisasi. Dengan itu, produktiviti kerja akan dapat dikekalkan pada tahap yang tinggi dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan organisasi khususnya dan pembangunan negara amnya. Bila kita berpuas hati dengan pekerjaan, kita berupaya menghindarkan unsur stres apatah lagi perlu juga memikirkan hal ehwal keluarga dan urusan peribadi selain daripada urusan pekerjaan.

Kepuasan kerja juga dapat menyuburkan rasa insaf dan syukur kepada tuhan kerana diberikan ruang untuk memiliki karier, berbanding dengan orang lain yang tidak berpeluang langsung untuk mendapatkan pekerjaan seperti mana yang kita miliki dan menjadi penganggur tanpa haluan. Seperti mana dalam firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu menyatakan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada-Mu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Surah Ibrahim, Ayat 7).