Tanggal tarikh 1 Mei setiap tahun seluruh dunia termasuk Malaysia menyambut sambutan Hari Pekerja. Dalam menghargai segala usaha dan peranan yang dimainkan oleh para pekerja adalah penting supaya pekerja itu sendiri dapat bekerja dalam suasana yang lebih ceria dan selamat. Dalam mewujudkan sebuah tempat kerja yang ceria dan selamat adalah penting untuk semua pihak yang berkaitan terutamanya pihak majikan dan pekerja itu sendiri untuk saling bekerjasama. Dengan wujudnya sebuah tempat kerja yang lebih ceria dan selamat ia dapat menjamin kesihatan serta keselamatan semua pihak ditempat kerja.
Jika isu kesihatan dan keselamatan seseorang pekerja itu terjamin fokus dapat diberikan terhadap sesuatu jenis pekerjaan, ia sekaligus dapat meningkatkan tahap produktiviti organisasi itu sendiri. Tidak dapat dielakkan terdapat pelbagai isu yang boleh memberi tekanan dalam penghidupan harian semua pihak termasuk golongan pekerja pada masa kini. Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua pihak yang berkaitan memberi kerjasama bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi dengan merangka langkah atau strategi yang lebih berkesan yang boleh mengurangkan tekanan di tempat kerja.
Pematuhan terhadap segala bentuk peruntukkan undang-undang serta segala polisi yang berkaitan dengan tempat kerja dalam negara kita perlu diamalkan serta dipatuhi pada setiap masa. Buat sekian lama, negara kita telah mewujudkan pelbagai jenis peruntukan undang-undang serta polisi yang berkaitan dengan tempat kerja bagi memastikan semua majikan serta pekerja menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik-baiknya seperti yang telah termaktub di dalam Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], dan lain-lain lagi.
Pada proses pembentangan Bajet 2018 yang lalu, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak juga telah mencadangkan kepada para majikan di Malaysia untuk mengadakan Skim Aturan Kerja Fleksibel (FWA) yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat bekerja terutamanya kepada pekerja kaum wanita dalam negara kita. Cadangan yang dibuat ini adalah untuk memberi peluang kepada pekerja untuk mengimbangi tugasan dalam pejabat dan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing di rumah. Langkah yang dilihat dapat mengurangkan tekanan seseorang pekerja terbabit juga dilihat sudah mula disambut baik oleh ramai majikan dalam negara kita pada masa kini. Walaupun begitu, usaha harus dipertingkatkan lagi bagi mengalakkan semua majikan di sektor awam dan swasta dalam negara kita untuk mengadakan skim FWA berkenaan ditempat kerja masing- masing.
Dalam pada itu, pihak kerajaan juga boleh memberi pertimbangan terhadap beberapa cadangan bagi mewujudkan polisi persekitaran yang boleh mengimbangi antara kerja dan keluarga (work life balance policy) seperti cadangan untuk mengalakkan semua tempat kerja tanpa mengira sektor pekerjaan untuk memiliki sebuah tempat penjagaan kanak-kanak bagi memudahkan urusan pihak pekerja yang mempunyai anak-anak kecil.
Selain daripada itu, pihak majikan juga perlu lebih bertoleransi dalam memberi tugasan kepada seseorang pekerjanya. Pihak majikan tidak seharusnya membebani pekerjanya dengan pelbagai jenis tugasan diluar kemampuan pekerjanya.
Adalah penting juga pihak majikan merangka Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator/KPI) yang lebih realistik serta sesuai dengan keadaan tempat kerja masing-masing. Pihak majikan juga mesti memberi penghargaan terhadap pekerjanya yang telah melaksanakan tugasan kerja yang diberikan dengan baik.
Pada masa yang sama, pihak pekerja juga mesti melaksanakan pekerjaan yang telah diamanahkan dengan baik serta tanpa leka. Pihak pekerja perlu menghargai segala kemudahan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak majikan kepada mereka. Budaya toleransi, kerjasama serta sifat faham memahami antara satu sama lain diantara majikan dan pekerja adalah amat penting bagi mewujudkan sebuah persekitaran tempat kerja yang lebih ceria, dan selamat.