NILAI – 11 Februari 2022 , Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meluaskan jaringan kerjasama dengan Imam Bukhari International Scientific Research Centre, Uzbekistan dalam satu majlis menandatangani memorandum persefahaman secara dalam talian. Ia adalah usaha merapatkan hubungan dua hala dan juga kolaborasi dalam pengintegrasian sains agama, sains sosial dan juga fizikal.

USIM diwakili oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, manakala Imam Bukhari International Scientific Research Centre, Uzbekistan diwakili oleh Pengarah Prof. Ziyodov Shovosil.

Hubungan kerjasama ini seterusnya akan diterajui oleh Institut Sains Islam (ISI) USIM, diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Adnan Mohamed Yusoff  untuk membantu meningkatkan keterlihatan USIM di peringkat antarabangsa melalui aktiviti akademik, kerjasama penyelidikan dan pelbagai program yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Kerjasama yang dimeterai ini adalah bagi menjayakan program-program yang akan dilaksanakan secara bersama seperti penyelidikan saintifik dan teknologi,  penyertaan dalam Hab Digital Sains Islam, pertukaran kakitangan penyelidikan dan akademik dan juga menjalankan persidangan bersama, seminar, simposia, meja bulat, kuliah tetamu, kelas induk dan inisiatif pendidikan lain.

Hubungan dua hala antara USIM dengan institusi pengajian tinggi dan penyelidikan di Uzbekistan bermula seawal 15 Februari 2017 dengan kunjungan hormat pertama dari Universiti Kebangsaan Uzbekistan. Seterusnya, USIM telah menerima kunjungan kerja dari Kedutaan Uzbekistan pada 16 Mac 2018, kunjungan hormat dari Grand Ta’lim Olam pada 18 Mac 2019 dan lawatan akademik dari Universiti Negeri Samarkand pada 13 November 2019.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan