NILAI, 7 April 2023 –  Seawal jam 9 pagi pada 6 April 2023, 20 sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST) telah berkumpul di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM) bagi mendengar taklimat penyediaan bubur lambuk yang disampaikan oleh penduduk kampung Nilai. Penyediaan bubur lambuk ini menggunakan resipi tradisi dari Kampung Baru yang diketuai oleh penduduk kampung Nilai itu berjaya dimasak dengan menggunakan 3 kawah besar kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum dibungkus untuk edaran.

Sempena Cakna Ramadhan 1444H, Exco Kebajikan & Exco Kesukarelawanan Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) sesi 2022/2023 dengan kerjasama Kelab Kebajikan FST mengambil inisiatif kebajikan dengan berkongsi rezeki bubur lambuk sesama staf dan pelajar. Melalui aktiviti sukarelawan ini, staf dan pelajar bekerjasama tanpa mengira penat lelah bagi mengimarahkan kedatangan bulan Ramadhan.

100 pek bubur lambuk diinfaqkan kepada Pusat Islam dan baki sebanyak 850 pek bubur lambuk mula diedarkan secara percuma oleh staf FST dan Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) yang terlibat pada pukul 4 petang di lobi FST kepada pelajar yang baru sahaja selesai kuliah di kampus dan edaran di Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC).

Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FST, Profesor Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay, merangkap penasihat utama Cakna Ramadhan 1444H, seperti tahun sebelum ini, sumbangan yang diberikan daripada Kelab Kebajikan FST dan infaq internal memainkan peranan utama dalam menjayakan aktiviti gotong-royong dan agihan bubur lambuk ini. Turut hadir sama, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Profesor Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa dalam persediaan awal memasak bubur lambuk.

Pelajar Sarjana antarabangsa dari Afghanistan (gambar kanan) turut hadir mengambil peluang mengenali budaya Malaysia melalui aktiviti gotong-royong ini. Menurut Penasihat Cakna Ramadhan 1444H, inisiatif ini menyerlahkan sikap empati dan cakna kebajikan dalam kalangan pelajar dan staf serta memupuk sikap sukarelawan melalui aktiviti merewang yang dijalankan. Nilai murni ini bertepatan dengan modul Graduan Integrasi Ilmu Aqli dan Naqli (GIINA) yang dipraktiskan di USIM bagi melahirkan graduan holistik yang menerapkan kesukarelawanan.

sumber: FST

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan