NILAI, 12 Jun 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan siri nombor pendaftaran UN yang dibuka untuk bidaan mulai esok 13 Jun 2023 sehingga 25 Jun hadapan. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Tuan Hanif Yusabra Yusof, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan.

Bersempena USIM menyambut ulang tahun yang ke-23 pada bulan ini, pelancaran nombor plat khas ini merupakan kenangan manis buat USIM dan warganya.

Naib Canselor Prof Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, pemilikan nombor pendaftaran khas siri USIM “UN” menjadi satu nilai atau simbolik kepada warganya termasuklah para alumni. Dalam konteks ini, beliau menyatakan bahawa terjemahan rasa dekat (sense belonging) dan nilai kepunyaan yang tinggi terhadap USIM ini amat tinggi.

“Saya menyeru kepada seluruh warga USIM, para alumni, kakitangan, pelajar, dan orang awam agar merebut peluang ini sebagai tanda sokongan kepada USIM. Hasil yang terkumpul daripada sumbangan dan kutipan nombor pendaftaran khas siri USIM “UN” ini akan dapat dimanfaatkan dalam banyak perkara termasuklah bagi tujuan pemberian biasiswa, mobiliti pelajar, penambahbaikan kualiti penyelidikan dan pembangunan Universiti”, ujarnya lagi.

Sementara itu, USIM melalui anak syarikat USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Syarikat Aquatwo yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan ejen pemasaran, promosi dan sistem jualan /bidaan nombor plat khas ini.

Bagi sesiapa yang berminat bolehlah melayari laman web www.unplat.com.my bagi mengikuti perkembangan dan bagi melakukan pembidaan nombor pendaftaran UN ini.

Turut hadir dalam majlis pelancaran siri nombor pendaftaran khas ini adalah DSP Mat Ghani Lateh, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Dato’ Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad Al-Bakri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, dan Encik Ahmad Shukri bin Zulkifli Ketua Pegawai Eksekutif USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan