MOHD ZUHDI BIN ZAKARIA

Home/MOHD ZUHDI BIN ZAKARIA

PROFIL

MOHD ZUHDI BIN ZAKARIA
Pemilik Hanya Satu Consultancy

Alma mater: Sarjana Muda Kaunseling, USIM

BIOGRAFI USAHAWAN

“Pengajaran dan pembelajaran di universiti adalah sebahagian daripada kisah kehidupan yang boleh digunakan sebagai pengalaman yang boleh digunakan setelah tamat pengajian.” Kaunseling menerusi media sosial merupakan medium pemasaran kepakaran klinikal kaunseling yang dilaksanakan oleh Mohd Zuhdi bin Zakaria. Zuhdi memilih saluran Youtube, Instagram, Tweeter dan Facebook bagi mendekati pasaran beliau. Merupakan antara generasi terawal yang mengambil jurusan Kaunseling di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), kini USIM, telah menamatkan pengajian pada tahun 2008.

Berasal dari Johor, Zuhdi merupakan sulung daripada enam beradik. Ibunya bekerja sebagai seorang ustazah manakala bapa beliau pernah bertugas di Johor Corporation sebagai Ketua Kerani di situ. Kini, bapanya turut melibatkan diri dalam perniagaan. Zuhdi mendirikan rumah tangga dengan rakan seuniversiti semasa masih bergelar mahasiswa di tahun tiga pengajian. Zuhdi mula berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan dengan membuka pusat penjagaan kanak-kanak dengan nama Taska Anakku Sayang di rumah beliau di Nilai. Di samping itu, beliau turut menawarkan perkhidmatan prebet sapu kepada para pelajar USIM yang memerlukan pengangkutan sekitar Nilai. Kemudian, beliau mengorak langkah lebih jauh dengan menubuhkan klinik kaunseling pada tahun 2008 yang didaftarkan dengan nama Hanya Satu Consultancy dan memiliki premis sendiri di Bandar Baru Nilai pada tahun 2009. Menurut Zuhdi, Hanya Satu bermaksud beliau percaya semua perkara yang berlaku adalah daripada Allah SWT. Klinik kaunseling Zuhdi berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa beliau terjun ke dalam bidang perniagaan firma kaunseling bagi memperjuangkan hak-hak kaunselor di Malaysia sebagai bidang profesional yang perlu diketengahkan. Beliau percaya bahawa bidang kaunseling di Malaysia sangat berpotensi apabila banyak terlibat menganjurkan program motivasi dan slot pembangunan diri. Pengalaman beliau menjelajahi 12 buah negara bersama pasukan dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan memberikan pendedahan dan peningkatan jati diri dalam diri Zuhdi. Sebagai graduan USIM, Zuhdi percaya bahawa beliau menjalankan sesi kaunseling melalui pendekatan islamik bagi membantu ahli komuniti yang bermasalah dengan mementingkan kebajikan pelanggannya. Maka, keuntungan semata-mata bukanlah matlamat perniagaan yang dilaksanakan oleh Zuhdi menerusi klinik kaunseling yang diusahakan beliau. Pesanan daripada Zuhdi, “Pengajaran dan pembelajaran di universiti adalah sebahagian daripada kisah kehidupan yang boleh digunakan sebagai pengalaman yang boleh digunakan setelah tamat pengajian.”

*dipetik dari Buku Biografi Usahawan Alumni USIM
(Terbitan Pejabat Perhubungan Alumni dan Pejabat Pembangunan Keusahawanan Siswa ~Tahun 2014)

2016-09-20T13:09:32+00:00