Dr Siti Suriani Othman
Dr Siti Suriani OthmanFakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Bersemuka dengan insan yang dinobatkan sebagai 500 muslim paling berpengaruh di dunia sejak 2010 membawa perasaan yang bercampur baur. Teruja, tertanya-tanya bagaimanakah beliau menyampaikan ceramah dan bagaimanakah beliau mengupas persoalan Islam dan Sains yang merupakan tajuk ceramah umum di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini pastinya persoalan yang turut bermain di minda khalayak yang lain. Hanya mengenali figura ini melalui bacaan atas talian, Felo dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Oxford yang merupakan orang Melayu pertama yang dilantik jawatan berkenaan dan telah sedia menerima liputan media yang meluas.

Itulah Dato’ Dr Afifi al-Akiti, sarjana Pengajian Islam yang muda dari segi usianya, tetapi “tua” dari segi pengalaman dan ilmunya. Liputan media terhadapnya berkait rapat dengan penerbitan bukunya bertajuk Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians terbit pada 2005 selepas pengeboman di kota London. Buku ini diterima masyarakat Barat sebagai maklum balas dari sarjana Islam yang berkredibiliti terhadap pembunuhan orang awam kerana penjelasan yang berkesan terhadap peperangan dan isu-isu berkaitan termasuklah pengebom berani mati.

Menariknya tentang Afifi ialah kupasan tentang Islam dan Sains yang dikaitkan langsung dengan falsafah integrasi ilmu naqli dan aqli di USIM yang dilihat beliau menjadi keunikan USIM yang tiada di negara lain. Keunikan ini terserlah, menurut Afifi lagi, kerana usaha USIM yang menjadikan misi integrasi ilmu sebagai misi utama universiti yang spesifik dan sangat fokus. Integrasi ilmu naqli iaitu ilmu ukhrawi dengan ilmu aqli iaitu ilmu duniawi meletakkan ilmu agama berada di martabat yang tinggi dalam memahami sesuatu fenomena.

Hal ini berlaku di universiti-universiti Barat, hatta Universiti Oxford sekalipun. Agama tidak dilupakan dalam slogan dan menjadi elemen utama ketika universiti ditubuhkan. Tetapi, agama hanya diletakkan sebagai elemen retorik tetapi dan elemen utama yang membentuk universiti.

Di sinilah, menurut Afifi, keistimewaan anyaman ilmu agama dan ilmu dunia yang dipelopori Imam Ghazali. Dalam buku Maqasid Falasifah (Tujuan Ahli Falsafah), ada dinyatakan dengan jelas kelebihan mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli. Dalam masa yang sama, inilah juga cabaran yang yang dihadapi oleh setiap tamadun manusia iaitu cabaran mengintegrasikan ilmu dan ini bukan usaha yang mudah.

Jadi, bagaimanakah Imam Ghazali mengharmonikan ilmu naqli dan aqli? Dalam sebuah hadis (dari kitab Sahah wa Doif Sunan at-Tarmizi hadis nombor 2687) ada dinyatakan “Kebijaksanaan adalah barang keciciran orang beriman. Siapa yang ketemuinya, maka ia berhak memilikinya”. Dalam hal ini, kehilangan hikmah dan isu siapa yang “menjumpainya” tidak timbul. Maksudnya, andai sesuatu ilmu itu baik, ia tidak perlu dipertikaikan datangnya dari siapa, muslim atau sebaliknya selagi ia bermanfaat kepada semua.

Namun, ilmu aqli juga mempunyai sifat tidak pasti kebenarannya kerana akal manusia yang mengikut nafsu, ego dan kehendak yang tidak bersempadan. Dalam pada itu, ilmu naqli pula memang ternyata benar sifatnya, dan kerana itu perlunya ilmu naqli untuk mengawal ilmu aqli.

Usaha secara praktikal mengintegrasikan ilmu ini pernah dilakukan sendiri oleh Imam Ghazali apabila memperkenalkan ilmu mantik secara formal di madrasah Islam. Ilmu mantik yang datangnya dari orang Yunani yang kemudiannya diperkenalkan oleh sarjana Islam dan dibawa masuk ke madrasah dan membawa kelahiran saintis Islam yang juga adalah ulama. Hanya dengan pengintegrasian ilmu, dapat membawa ilmu dari “luar dunia” (iaitu ilmu-ilmu dari kitab) untuk menerangi akal yang berada dalam diri seseorang manusia.

Ini menguatkan hujah bahawa tidak ada percanggahan antara sains dan Islam, malah satu elemen menguatkan elemen yang lain. Dengan itu, maka kita boleh meyakini kekuatan integrasi ilmu yang diusahakan, dan usaha ini perlu diteruskan dengan istiqamah jika benar kita mahu melihat Islam dan umatnya kembali menyinar sebagaimana gemilangnya Islam suatu masa dahulu.