SEREMBAN – Konvensyen Kehakiman & Perundangan Syariah Kebangsaan Bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (KOPKES 2026) yang berlangsung di Klana Resort Seremban semalam menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan wacana perundangan Syariah negara menerusi peluncuran Jurnal AL-TAQRIR: Jurnal Perundangan Syariah dalam talian pertama di malaysia, hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Konvensyen itu menghimpunkan pengamal undang-undang, ahli akademik serta pelajar dalam usaha memperkukuh wacana kehakiman dan perundangan Syariah di peringkat kebangsaan.
Bertemakan “Mengenali Adat Perpatih: Keistimewaan Kedudukan Wanita dalam Pemilikan Harta”, program ini menampilkan pelbagai pengisian ilmiah termasuk ucaptama dan forum yang membincangkan integrasi antara prinsip Syariah dan adat dalam pengurusan harta.
Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, yang turut menyaksikan peluncuran jurnal berkenaan sebagai manifestasi penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan institusi kehakiman.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun dalam ucapannya menegaskan bahawa Negeri Sembilan perlu berani diketengahkan sebagai sebuah Hab Intelektual Perundangan Syariah dan Adat yang disegani, selain menjadi destinasi rujukan kepada para cendekiawan, pelajar dan pengkaji dari dalam dan luar negara.
“Penerbitan Jurnal AL-TAQRIR sebagai satu langkah berani dan progresif dalam mendokumentasikan khazanah perundangan serta penghakiman Syariah untuk rujukan dunia akademik”, ujarnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha memperkasa institusi kehakiman dan perundangan Syariah bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata. Penerbitan jurnal ini dilihat sebagai satu inisiatif signifikan dalam memartabatkan penerbitan ilmiah berimpak tinggi dalam bidang perundangan Syariah di Malaysia.
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kerjasama ini merupakan satu langkah sulung yang amat signifikan dalam menyatukan institusi akademik dan institusi kehakiman bagi memastikan amalan perundangan di lapangan dapat didokumentasi dan diterbitkan menurut piawaian keilmuan yang unggul, berwibawa serta diiktiraf dalam wacana akademik.
“Peluncuran Jurnal AL-TAQRIR diharap dapat menjadi wadah rujukan utama dalam memperkasa kefahaman, dokumentasi dan perkembangan sistem perundangan Syariah di Malaysia, di samping membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara institusi pengajian tinggi dan institusi kehakiman pada masa akan datang”.
Ujarnya lagi, keistimewaan jurnal ini terletak pada pengintegrasian penulisan berbentuk alasan penghakiman dan artikel ilmiah, sekali gus menjadikannya sebagai platform unggul yang menghubungkan amalan kehakiman dengan penyelidikan akademik secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.
“Inisiatif ini turut disokong oleh kepakaran daripada Kumpulan Penyelidikan CFORSJ, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), USIM, selain sumbang saran ilmiah daripada para cendekiawan FSU USIM serta kerjasama rapat bersama Penerbit USIM dalam memastikan kandungan jurnal mencapai standard keilmuan yang tinggi”, katanya.
Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, YAA Dato’ Haji Kamal Bashah bin Dato’ Ahmad Tajuddin menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai satu gabungan buah fikiran yang hebat antara pakar akademik dan pengamal kehakiman Syariah di lapangan, sekali gus memperkukuh pembangunan institusi perundangan Syariah serta memperluas akses kepada sumber ilmu yang berkualiti.
Penganjuran KOPKES 2026 bertujuan menjadi platform perkongsian ilmu dan perbincangan ilmiah mengenai isu-isu semasa dalam perundangan Syariah, khususnya yang berkaitan dengan pengurusan harta berteraskan adat dan hukum Syarak.
Konvensyen ini turut menekankan penghayatan prinsip “Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah” sebagai asas penting dalam pengurusan harta menurut kerangka Syariah dan adat setempat.

