NILAI, 2 NOV 2015 – Pengurangan peruntukan kepada universiti dalam Bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini bukanlah menjadi penghalang bagi USIM untuk terus memperkasakan bidang akademik dan meneruskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan inovasi yang telah direncana.

USIM menghargai komitmen Kerajaan selama ini kerana  terus mendapat perhatian dan keutamaan dalam perancangan perbelanjaan negara. Pengurangan peruntukan kewangan yang diterima oleh USIM seperti rakan-rakan dari Universiti Awam yang lain tidak akan memberi impak kepada kenaikan kadar yuran Universiti ini pada tahun hadapan seperti yang dibimbangi oleh masyarakat terutamanya ibu-bapa dan mahasiswa. Pengurusan Universiti melihat tiada keperluan menaikkan yuran pada masa kini bagi menampung kekangan peruntukan yang diterima kerana Universiti mempunyai perancangan strategik dalam mendepani cabaran kewangan Universiti pada tahun hadapan.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad, antara fokus strategik yang akan diambil ialah melaksanakan usaha-usaha bagi memastikan perbelanjaan berhemah dipraktikkan di kalangan warga USIM antaranya dalam penjimatan pengurusan kos utiliti dan penyelenggaraan/kerosakan aset Universiti.

“Selain itu bermula tahun 2013 lagi, Universiti telah mengambil pendekatan menggalakkan penjanaan kewangan di kalangan fakulti dan pusat tanggungjawab di USIM melalui penubuhan Tabung Enterprise.  Langkah ini mendapat sambutan yang amat baik dan secara tidak langsung mendayakan Jabatan-jabatan di USIM dalam mengurus perbelanjaan mereka dan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada peruntukan kewangan Universiti.”

“Universiti akan terus memperkasakan syarikat induk milik Universiti iaitu USIM Tijarah Holdings Sdn. Bhd. Lapangan perniagaan baharu yang menguntungkan akan giat diterokai selepas ini untuk memastikan syarikat ini terus berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa”. Ujarnya lagi “Penawaran program akademik USIM yang lebih berdaya saing dan kompetetif di peringkat antarabangsa akan menarik dan meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa ke USIM. Kita mempunyai pelbagai program pasca-siswazah yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran dan kelebihan ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk terus meningkatkan pengambilan pelajar-pelajar baharu pada tahun hadapan melalui promosi pendidikan berterusan oleh Pusat Pengajian Siswazah. Malah penawaran program pendidikan secara online atau blended learning di bawah platform Pusat Akses Pembelajaran Terbuka Global (GOAL Centre)  juga akan lebih diperkasakan di peringkat serantau dan global dalam usaha USIM mencapai sasaran meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti ini”.

“Dalam memastikan kelestarian kewangan universiti terus diperteguhkan, USIM juga akan terus melaksana projek berasaskan wakaf dan endowment.  USIM juga telah menggerakkan wakaf tunai untuk memastikan USIM mampu menampung keperluan kewangan universiti dan berupaya berkembang dari sumber janaan yang telah dirancang. Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf USIM (PPPW) yang telah ditubuhkan pada tahun 2013 telah berjaya menjadikan universiti ini sebagai universiti pertama diberi status mutawali oleh Majlis Agama Negeri Sembilan”.

Antara kejayaan yang dicapai melalui projek wakaf adalah penubuhan Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Pusat Hemodialisis USIM hasil bantuan dana daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Klinik Pakar Kesihatan USIM ini diletakkan di bawah pengurusan USIM Tijarah Holdings Sdn. Bhd. dan telah mula beroperasi pada April tahun ini.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204