Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berusaha memperkasakan penyelidikan berkaitan dengan kumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU). Ini kerana, pihak FPQS menyedari bahawa program bagi membantu golongan OKU masih lagi menghadapi kesukaran biar pun banyak langkah telah dibuat oleh pihak Kerajaan dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini.

Menurut Prof Madya Dr Adnan Mohamed Yusof, Dekan FPQS, penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik di fakulti mendapati bahawa usaha untuk menyampaikan ilmu berkaitan pendidikan asas agama Islam umumnya dan ilmu asas pendidikan Quran dan Sunnah khususnya, masih belum diterokai oleh para ilmuwan, pendakwah dan pengkaji dengan secukupnya. Masih banyak keperluan bagi menyampaikan ilmu ini kepada mereka masih belum dipenuhi dan masih banyak persoalan yang melingkari isu penyampaian pendidikan Islam kepada mereka yang belum diberi solusi. Justeru, isu berkaitan penyampaian pendidikan Islam, Quran dan Sunnah kepada golongan OKU ini telah dipilih sebagai salah satu ‘showcase’ FPQS sebagai satu platform kepada para ilmuwan, pendakwah dan penyelidik untuk menunaikan tanggungjawab mereka kepada kumpulan ini. Selain itu, ia merupakan sebahagian dari Strategi Lautan Biru fakulti dalam membina imej dan citra fakulti untuk mendepani isu-isu berkaitan pengajian serta pendidikan kontemporari Quran dan Sunnah.

“Sehingga kini, pihak FPQS telah menjalankan sebanyak 10 penyelidikan berkaitan dengan OKU ini menerusi pelbagai geran penyelidikan yang diterima oleh kakitangan akademik di FPQS dan juga melalui penyelidikan bersama dengan fakulti lain di USIM dan juga Universiti lain”.

“Selain itu juga, sebanyak 21 tajuk penulisan tesis berkaitan OKU ini telah diluluskan untuk pelajar peringkat Sarjana Muda di bawah Penyeliaan kakitangan akademik FPQS. Ini mejelaskan bagaimana terdapatnya banyak ruang bagi tujuan membantu golongan OKU ini. Projek ilmiah ini diharapkan dapat digunakan bagi mengumpulkan data yang komprehensif ke arah menyediakan persekitaran yang lebih mesra kepada kelompok OKU kelak, tambah Prof. Adnan” .

FPQS telah menghasilkan sebanyak tujuh buah buku berkaitan dengan OKU seperti Braille Al Quran: Sejarah dan Kaedah; Monograf Standard Transkripsi Penulisan Arab/Jawi Braille; Pengajaran Al Quraan Braille; Monograf Penyelidikan USIM Pembangunan Braille Al Quran Rasm Uthamni; Buku Iqra’ Braille 1-6; Fiqh Jenayah Orang Kelainan Upaya; dan juga buku Toleransi Nabawi Dalam Kepelbagaian Bangsa. Selain itu, sebanyak sepuluh buah penulisan telah diterbitkan dalam jurnal sejak dari tahun 2010 hingga tahun 2016.

FPQS juga berharap usaha membantu golongan OKU ini dapat terus diperkukuhkan melalui jaringan dengan pihak komuniti. Antara program kerjasama dengan komuniti yang telah dilaksanakan oleh pihak FPQS ialah Malam Meraikan Tetamu Syurga Majlis Makan Malam Amal & OKU Berselawat; Anak Istimewa Anakku Tiket ke Syurga V2; Jom Dhuha Bersama Anak Autisme; OKU Berdoa: Bicara Tanpa Hijab; Lawatan Khidmat Ummah Mahasiswa Prihatin OKU; Simposium Khidmat Ummah: The Gift of Life; Simposium Khidmat Ummah (Dakwah OKU) Peringkat Nusantara kali ke 3; dan juga Program Hari Menyantuni OKU. Pihak FPQS juga mempunyai sebuah persatuan pelajar yang terlibat secara aktif dalam program komuniti golongan OKU iaitu persatuan Sahabat FAQEH.

Manakala bagi tujuan memberikan pendedahan kepada pelajar USIM mengenai usaha menyantuni golongan OKU ini, pelbagai seminar dan bengkel telah diadakan seperti Kursus Dakwah Tanpa Suara dan juga Forum Dakwahku untuk Siapa. Pihak FPQS turut diberikan kepercayaan untuk menjalankan khidmat perundingan berkaitan dengan latihan untuk jurulatih (TOT) dalam aplikasi Braille dalam Pengajaran Quran dan Sunnah. Pihak FPQS juga telah mempunyai kerjasama dengan pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM),Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (PERTIS); Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA), Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan juga Yayasan Pendidikan Al Quran Bagi Anak Istimewa (FAQEH).

Hasil daripada usaha para penyelidik FPQS dalam memperkasakan penyelidikan berkaitan dengan golongan OKU ini, mereka telah berjaya memenangi beberapa anugerah seperti Pingat Emas dalam Ekspo Inovasi Islam 2014 (Smart Iqra Braile); i-INOVA’2015 (i-TALK PAI, Rasm Uthmani Braille dan Sahiba Game). Manakala dalam i-TEX 2015, FPQS telah mengondol Pingat Emas melalui Smart Iqra Braille. Pada i-TEX 2016 pula mendapat Pingat Emas melalui I TALK PISKEB dan Smart Iqra Braille pula dipilih menerima Anugerah Khas (INPEX Award of Excellence). Selain itu, FPQS juga telah memenangi Pingat Emas melalui penyelidikan I TALK PISKEB dalam International Invention and Innovative Competition (INIIC 2016). Pada tahun 2015, penyelidikan Smart Iqra Braille telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan sempena Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi USIM 2015.

FPQS sangat berharap agar usaha ini dapat terus diperkasakan dengan sokongan dari pihak berwajib dalam skala yang lebih besar terutama dari aspek pembiayaan, khidmat kepakaran, serta kerjasama berkaitan akses kepada institusi berkaitan, bagi memberi ruang yang lebih meluas kepada para penyelidik untuk mengenalpasti, menghayati serta mencari solusi terhadap isu-isu sebenar yang kritikal di lapangan supaya nikmat hidayah Islam sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’ turut dapat dirasai dan dihayati oleh kumpulan OKU ini.

Mudah-mudahan dengan cara ini, berbagai potensi yang ada dalam diri kumpulan ini dapat dibangunkan dengan lebih komprehensif dan optimum, untuk mereka turut serta menyumbang bakti kepada usaha pembangunan masyarakat, negara dan ummah.

Sesungguhnya potensi serta kemampuan yang ada pada mereka untuk berbakti, terbukti tidak dapat dinafi jika peluang dan ruang secukupnya diberikan kepada mereka sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para tokoh OKU sepanjang zaman. FPQS mensasarkan dalam tempoh terdekat ini,sebuat pusat kecemerlangan berkaitan pendidikan OKU berteraskan Quran dan Sunnah akan terbina di USIM sebagai sebuah lagi mercu tanda Kampus Barakah USIM.

Disediakan oleh:
Asri Husain
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204