NILAI, 18 Jan 2019 – Dalam usaha meningkatkan skil kakitangan khususnya menerusi bidang pengurusan seni budaya, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memilih Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura (PERKAMUS) untuk jalinan kerjasama menerusi program Organization Enhancement Programme (O-Pro): Kembara Ilmu Pusat Kebudayaan USIM (Johor–Singapura) 2019.

Program O-Pro dirancang setelah mengambil saranan Pengurusan Universiti yang mahukan organisasi dan warga Universiti didedahkan dengan ilmu pengetahuan dan kerjasama di peringkat yang lebih luas di peringkat antarabangsa bagi membentuk pengurusan kerja berorganisasi yang lebih cekap dan cemerlang khususnya berkaitan pengurusan organisasi seni budaya serantau. Bagi mencapai hasrat ini, Pusat Kebudayaan telah menjemput Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura (PERKAMUS) hadir mengadakan perbincangan rasmi.

Organization Enhancement Programme (O-Pro): Kembara Ilmu Pusat Kebudayaan USIM (Johor–Singapura) 2019 merupakan sebuah program yang dirancang khusus bagi membolehkan staf Pusat Kebudayaan menimba ilmu seni budaya dan ke arah pemikiran global seiring dengan visi Pusat Kebudayaan menjadi Peneraju Seni Berbudaya selain akan menjadi medan pakar rujuk di dalam program seni budaya yang patuh syariah sama ada di peringkat universiti, kebangsaan termasuklah di peringkat antarabangsa selain membentuk kerjasama strategik antara organisasi pengajian tinggi serantau.

Terdapat beberapa pengisian yang terkandung dalam O-Pro, antaranya dialog budaya iaitu sebuah segmen berbentuk diskusi ilmiah, pembentangan kertas kerja dan pertemuan serta perkongsian ilmu bersama tokoh.

Pengarah Pusat Kebudayaan, Ismail Ahmed semasa mempengerusikan perbincangan berkata USIM amat berbesar hati apabila PERKAMUS menerima pelawaan untuk menjalinkan hubungan strategik khususnya menerusi program berbentuk wacana ilmu dan menerusi program O-Pro ini kita akan cuba meneroka kerjasama lain yang boleh diperluaskan bersama PERKAMUS dan ini adalah kerjasama peringkat serantau.

“Pihak kami mengharapkan agar kerjasama ini berpanjangan kerana kita perlu bersama memelihara karya-karya Melayu supaya generasi kita akan terus mengangkat hasil seni sebagai sebuah karya agung,” ujar Yusnor Ef ketika ditemui.

Hasil pertemuan secara rasmi tersebut, USIM akan membuat pembentangan kertas kerja berkaitan ‘Unsur Sinkretisme Muzik Melayu di Malaysia, manakala PERKAMUS berkaitan ‘Perkembangan Muzik Melayu di Singapura’. Kumpulan penggiat seni Melayu yang terdiri daripada pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi serta beberapa kumpulan seni budaya Singapura turut akan dijemput bagi menghadiri sesi ini.

Program ini akan diadakan bermula pada 14 hingga 17 Februari 2019 yang akan disertai oleh 11 orang delegasi yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kebudayaan USIM serta staf Pusat Kebudayaan USIM dan seorang Karyawan Seni USIM, Syed Indera Syed Omar serta koreografer terkenal tanah air, Mahmood Ibrahim.

Dalam perbincangan tersebut PERKAMUS dihadiri oleh presidennya Mohd Nor Mohd Yusofe atau lebih dikenali sebagai Yusnor Ef yang merupakan karyawan muzik terkenal di Malaysia dan Singapura berkata pihaknya menyambut baik program kerjasama bersama USIM.

Umum mengetahui karya Yusnor Ef sangat terkenal di era 70-an dengan lagu-lagu rakaman piring hitam antaranya nyanyian P.Ramlee yang liriknya ditulis oleh beliau berjudul Senjakala (ciptaan P.Ramlee) manakala Lanang Tunang Tak Jadi ciptaan Kassim Masdor.

Selain menjadi ahli Lembaga Pengarah COMPASS beliau juga memikul jawatan penting di Majlis Seni Kebangsaan (NAC) sebagai Chairman Malay Music Development Committee dan juga sebagai Penasihat MusicSG (NLB).

Ahli PERKAMUS yang turut hadir dalam perbincangan tersebut Rusedah Tawhid, setiausaha serta tiga orang ahli PERKAMUS.

Disediakan Oleh:
Rozihani Mohamad
Pusat Kebudayaan USIM