KUALA LUMPUR, 2 April 2019– Buku terbitan Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tahun ini berjaya memenangi Anugerah Buku Negara Kategori Anugerah Industri Buku 2019 iaitu Kategori Buku Umum Terbaik (Kategori Dakwah) yang bertajuk Dakwah Askari di Malaysia hasil penulisan Burhanuddin Jalal.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh YB Tuan Haji Khalid Abd Samad, Menteri Wilayah Persekutuan semalam.
Majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) tersebut diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 yang berlangsung pada 29 Mac hingga 7 April ini. Hadiah berupa plak dan sijil telah diterima oleh penulis sendiri dan Ketua Penerbit USIM, Puan Hariza Mohd Yusof selaku wakil penerbit. Majlis yang diadakan ini bertujuan menghargai serta mengiktiraf sumbangan warga kerja di sebalik tabir industri perbukuan.
Mewakili USIM, Puan Hariza berkata kemenangan ini akan menjadi galakan dan dorongan buat penerbit dan penulis untuk terus menghasilkan karya yang bermutu tinggi untuk dijadikan bahan rujukan dan legasi warisan generasi akan datang.
Buku terbitan 2018 ini mengupas bagaimana penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dalam usaha untuk mengembangkan perkhidmatan agama sebagai organisasi dalam satu bentuk kor di bawah perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Buku ini turut menyentuh perkembangan pengurusan hal ehwal Islam dalam ATM serta menyentuh usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh KAGAT.
Penerbit USIM merupakan penerbit universiti di bawah Universiti Awam (UA) yang menerbitkan buku ilmiah dalam pelbagai bidang dan genre. Salah satu bidang yang khusus adalah dalam bidang integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
Disediakan oleh:
Bahagian Penerbitan USIM
Disemak oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032