NILAI, 8 Ogos 2019 – Pemerkasaan kandungan media Islam dalam era digital perlu menjadi agenda utama dalam usaha untuk membangun budaya dan aktiviti dakwah yang baharu demi kemaslahatan umat sejagat. Justeru, dalam menggembleng usaha untuk mencapai matlamat dalam berdakwah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Syarahan Perdana bagi mengiktiraf kepakaran Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani, Profesor di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dalam bidang dakwah.
Menurut Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM berkata Majlis Syarahan Perdana ini adalah bertujuan untuk mengiktiraf kepakaran seseorang warga akademik dalam bidangnya. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyebarkan hasil kajian dalam bidang tersebut untuk dikongsi kepada warga USIM dan masyarakat sekitar.
“Kali ini, Majlis Syarahan Perdana mengiktiraf kepakaran Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani dalam bidang dakwah dan melihat era semasa ini, USIM perlu mengambil inisiatif dengan memaklumkan tentang kepentingan berdakwah menerusi platform digital,” katanya.
Prof Dato Dr Zulkiple dalam syarahannya juga mengulas bahawa persekitaran digital telah membuka peluang baharu kepada aktiviti dakwah dan jika dimanfaatkan sepenuhnya, ia boleh menjadi game changer kepada pembinaan tamadun ummah iaitu dengan memperkasa kandungan media Islam.
“Pendekatan dakwah bi al-nizam (membangun sistem) perlu diperkasa dan disokong dengan sistem pendidikan yang bakal melahirkan generasi baharu yang menguasai ilmu agama serta sains dan teknologi secara bersepadu untuk membolehkan mereka menerajui dakwah dalam persekitaran digital,” katanya.
Beliau menambah, jumlah pengguna Internet telah melebihi 3 bilion penduduk dunia dan kadar penembusan internet dalam negara-negara Islam juga semakin meningkat, kaedah komunikasi juga mengalami transformasi khususnya di kalangan warga internet (netizen).
Menurut beliau lagi, matlamat dakwah boleh dicapai dengan meningkatkan literasi pengguna Muslim terhadap komputer, internet dan aplikasi telefon mudah alih. Dalam konteks Malaysia, hasil dari perancangan strategik kerajaan, kadar penembusan internet adalah tinggi (28.7 juta orang) iaitu 87.4% walaupun terdapat beberapa isu tentang ‘digital divide’ yang cuba diatasi. Di samping itu, beliau menegaskan bahawa tujuan dakwah dalam persekitaran digital ini akan dapat dicapai sekiranya ekosistem media Islam meliputi falsafah pemikiran dan teori media Islam, pemerkasaan dari sudut pembangunan sumber manusia yang kompeten dan organisasi yang mapan serta agenda membangun kandungan media Islam dapat dilaksana.
Profesor Dato’ Dr. Zulkiple menyertai USIM pada November 2009 dan pernah menjadi Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa, USIM (September 2014-Jun 2018). Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan dan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Ahli Senat dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti. Pada 2018, beliau juga dilantik sebagai profesor pelawat di Rumeli Istanbul University dan International University for Renewal (IUR).
Dengan kehadiran lebih 200 tetamu di Dewan Senat Canselori, antara tetamu yang hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Ybhg. Prof Dato Dr Siddiq Fadzil, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Prof Madya Dr Faizal Kasmani dan Felo Utama FKP Prof Tan Sri Dato Dr Abdul Shukor Hj Husin .
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan