NILAI, 14 Julai 2020- Dalam melaksanakan ’good governance’ sesebuah organisasi itu perlu menerapkan beberapa elemen dan nilai bagi memacu proses pemerintahan dan pentadbiran berjalan dengan cemerlang dan disegani. Dengan membawa topik bertajuk ’Good Governance within a University’, Syarahan Kepimpinan ini telah disampaikan oleh Pro Canselor USIM Tun Dato’ Seri (Dr) Zaki bin Tun Azmi bertempat di Dewan Senat Canselori.
Secara ringkas mengenai latar belakang Tun Dato’ Seri (Dr) Zaki bin Tun Azmi, beliau dilahirkan pada 12 September 1945 di Alor Setar, Kedah. Mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Sekolah Anderson, Ipoh dan English College (Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn London sehingga mendapat Barrister-at-Law pada tahun 1969.
Dengan pengalaman perkhidmatan yang luas selama 37 tahun dalam bidang undang-undang di sektor kerajaan dan swasta, beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 September 2007. Pada 11 Disember 2007 beliau telah dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober 2008 sehingga 11 September 2011
Dalam syarahan tersebut, beliau menyatakan bahawa governan yang terbaik adalah pentadbiran sesuatu organisasi itu menerapkan nila-nilai dan prinsip Islam yang berpandukan al quran dan sunnah. Dalam konteks ini, USIM merupakan salah sebuah Universiti Islam di Malaysia yang membawa agenda Islam serta memberi perkhidmatan berupa pendidikan kepada pemegang taruh dan juga masyarakat.
”Seorang pentadbir atau pemimpin yang mempunyai nilai-nilai murni seperti amanah, bertanggungjawab, Ikhlas, jujur serta berintegriti akan memberi kepercayaan kepada pemegang taruh dan masyarakat untuk menyumbang atau bekerjasama dalam institusi tersebut. Ia juga turut dibantu dan disokong oleh barisan pengurusan yang baik”.
Beliau juga turut menegaskan Universiti Islam perlu berpegang teguh dengan prinsip Islam, tidak terlalu mengikut budaya-budaya barat. Pengiktirafan Allah SWT mengenai kedudukan Islam tidak boleh diragui sama sekali. Ia mengandungi ketetapan jelas berdasarkan sumber agama yang tidak pernah berubah dari dulu, kini dan selamanya iaitu al-Quran dan sunah.
Syarahan ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Ahli Lembaga Pengarah Tan Sri Hj Musa Tan Sri Hj Hassan, Naib Canselor Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan pihak pengurusan universiti. Ia juga dihadiri oleh Ketua-ketua Jabatan.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan