NILAI, 15 September 2022 – Pengertian merdeka, tidak hanya di zahirkan pada kibaran dan gantungan bendera di kawasan premis, tetapi juga penghayatan dan melahirkan rasa syukur kepada Ilahi atas kurniaan kemakmuran yang dinikmati hingga kini. Umpama bangkit kembali setelah pandemik Covid-19, semangat menyambut bulan kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia tidak pernah luntur.
Justeru, bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang di urus setiakan oleh Pusat Kebudayaan USIM dan Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Kolej Genius Insan telah menganjurkan Festival Koir Kemerdekaan Piala Pendaftar (FESKEP) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM.
Kumpulan Voice of Insan, gabungan peserta dari Kolej Genius Insan dan Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan (C4SS) dinobatkan sebagai Johan FESKEP 2022. Manakala tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Otai Irama Merdeka iaitu dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Prupel Harmonic Voice dari Pusat Perumahan Pelajar. Johan membawa pulang wang tunai RM 1000 berserta sijil dan piala, tempat kedua dan ketiga membawa pulang wang tunai RM 700 dan RM 500 berserta piala dan sijil.
Naib Canselor USIM, Prof Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani dalam ucapan perasmiannya berkata, seiring dengan tema hari Kebangsaan tahun ini iaitu Keluarga Malaysia – Teguh Bersama, semua warga USIM perlu mengutamakan semangat bersatu padu serta hidup dalam keadaan harmoni diantara sesama kita bagi memastikan kampus yang dicintai ini sentiasa aman damai dan terus makmur.
Manakala Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan turut berkata, rutin kepakaran staf yang sebelum ini hanya dilihat bekerja di sebalik meja dan skrin peranti, kini bakat kesenian mereka terserlah melalui penganjuran festival seperti ini. Beliau yakin rasa kebersamaan sesama kita perlu dieratkan kerana ini yang akan melahirkan rasa sayang kita kepada negara.
Tambahnya lagi, penyertaan 11 kumpulan melibatkan 18 jabatan ini menunjukkan bahawa staf USIM berupaya menyambut dan meraikan bulan kemerdekaan dengan meriah walaupun hampir dua tahun berdepan pelbagai kekangan dan sunyi dek pandemik Covid-19.”
Dalam pada itu peneraju program, Pengarah Pusat Kebudayaan Kebudayaan USIM Encik Ismail Ahmed berkata, salah satu alternatif untuk menonjolkan semangat cinta kepada negara adalah melalui program kesenian di mana dengan karya seni ia boleh membangkitkan semangat kecintaan berbilang kaum.
Penganjuran kali kedua dilihat lebih meriah dengan penglibatan sejumlah 230 peserta dari penyertaan pelbagai jabatan USIM. Para penonton juga dapat menyaksikan secara langsung menerusi platform USIM TV dengan hampir 500 penyokong hadir memberi sokongan kepada jabatan masing-masing.
Turut memeriahkan acara, legenda penyanyi rock tanah air Dato’ Nash yang juga Karyawan Seni USIM diundang sebagai ketua juri pertandingan. Selain itu, penyanyi dan Naib Juara Gegar Vaganza dan juga guru vokal Dia Fadilla serta juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008 Azizul Haqim Md Anuwar turut hadir sebagai juri.
**sumber: Pusat Kebudayaan
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan