NILAI, 25 Julai 2023- Seramai 1,111 orang pelajar baharu program Tamhidi Sesi Akademik 2023/2024 mendaftar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mulai hari ini 25 Julai 2023.

Pelajar baharu Program Tamhidi ini telah mendaftar secara dalam talian bermula        23 hingga 24 Julai 2023. Sebanyak empat program yang ditawarkan iaitu Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi dan Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Taaruf berkata, pelajar-pelajar ini akan menjalani Program Taaruf secara hibrid melalui platform Global Open Access Learning System (GOALS) mulai 25 hingga 29 Julai 2023. Program Taaruf secara fizikal pula akan bermula pada 27 hingga 28 Julai 2023. Pelajar juga diberikan kebebasan untuk menyusun waktu dalam memastikan semua modul dapat diselesaikan pada waktunya.

Beliau turut berkata pelajar-pelajar ini telah membuat pilihan yang tepat apabila menjadikan USIM sebagai destinasi untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. USIM amat komited untuk melahirkan ilmuan Islam yang holistik dan seimbang dari segi rohani dan jasmani dengan menekankan perspektif pendidikan yang menyeluruh ke arah pengaturan ilmu Naqli dan Aqli selaras dengan falsafah, misi dan visi USIM.

“Hal ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasakan mahasiswa bagi melahirkan mahasiswa yang mampu berdikari dan mendokong pembangunan Malaysia Madani. Hasrat ini juga bertepatan dengan hasrat USIM dalam memastikan graduan yang dilahirkan adalah graduan berpesonaliti unggul yang merangkumi profesionalisme, proaktif, berdaya saing dan mempunyai adab seorang insan yang sejati” ujarnya lagi.

Beliau turut mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu ini dan mengharapkan agar pelajar Program Tamhidi sesi akademik 2023/2024 ini belajar dengan bersungguh-sungguh dan mengambil peluang untuk terlibat aktif dalam apa jua program yang dianjurkan oleh universiti.

sumber: PHEP

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan