NILAI, 23 Ogos 2017 – Majlis Anugerah Kecemerlangan Inovasi 2016 (AKI 2016) dan Penghargaan Sumbang Bakti 2017 merupakan antara majlis tahunan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dinantikan oleh warganya.
Bertemakan “Tradisi Dipelihara, Inovasi Membara”, majlis yang diterajui oleh Jabatan Pendaftar ini diadakan untuk meraikan seramai 144 kakitangan bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan disempurnakan oleh YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Di majlis tersebut, seramai 124 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 11 penerima kategori Anugerah Khas dan 3 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa (APCI). Turut diberi Penghargaan Sumbang Bakti 2017 kepada dua orang kakitangan USIM yang bersara pilihan iaitu Dr. Rosliza Ghazali dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Dr. Tun Nur Afizah Zainal Ariff dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).
YBhg. Dato’ Naib Canselor dalam ucapannya menyatakan majlis ini merupakan platform yang terbaik bagi USIM menghargai pengorbanan dan usaha kakitangan USIM dalam meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan.
“Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Khas ini bukan hanya sebagai dorongan dan pengiktirafan kepada kakitangan yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan atau telah menghasilkan prestasi kerja cemerlang semata-mata. Bahkan dalam skop yang lebih luas, anugerah ini merupakan langkah ke arah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan, khususnya di USIM,” ucapnya.
Salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa, Dr. Mohd Faizal Kasmani, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik melalui ucapan balasnya berkata anugerah ini amat bermakna untuk menghargai segala usaha untuk menaikkan nama USIM. Tambahnya, semangat berbakti di USIM juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa tanpa mengharapkan sebarang anugerah.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Inovasi 2016 merupakan antara acara utama sempena Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi (HKI) USIM 2017 telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, pada 21 Ogos lalu bermula dengan program larian 10,000 langkah dari Dataran Canselori menuju ke Dewan Kuliah 3.
Antara acara lain yang telah diatur sepanjang Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi antaranya ujian kesihatan, kempen derma darah, Pertandingan Idea Kreatif dan Pertandingan Menulis Esei.
Disediakan oleh :
Amizul Aziz
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Bangunan Canselori
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204